Pasukan Hazmat bertindak menangani pencemaran bau ammonia parit perumahan di Seksyen 32, Shah Alam berlaku semalam. - Gambar ihsan bomba.Selangor

SHAH ALAM – Penduduk kawasan perumahan di Seksyen 32, Sri Muda di sini bimbang keselamatan mereka selepas terhidu bau busuk dari longkang perumahan mereka disyaki gas ammonia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan itu semalam yang berlaku di pencemaran bau di Jalan Sungai Rasau 32/24, Seksyen 32.

Katanya, pada Ahad lebih kurang pukul 9.30 malam, salah seorang penduduk terkesan bau busuk yang kuat dari longkang lalu terus menghubungi balai polis untuk membuat aduan.

“Siasatan di lokasi kejadian bersama pasukan HAZMAT Bomba Selangor telah mengesan bau disyaki gas ammonia berpunca dari longkang berhampiran sebuah gudang tempat penyimpanan makanan sejuk beku.

Pasukan Hazmat Bomba telah terlibat dalam tindakan selepas kebocoran bau amonia parit perumahan di Seksyen 32 Shah Alam berlaku semalam. Ihsan Bomba Selangor

“Siasatan lanjut bomba mendapati pihak pengurusan gudang mengatakan mereka sedang menjalankan kerja penyenggaraan berkala seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tetapi, katanya, pengurusan gudang tersebut tidak menyedari terdapat takungan berlaku pada sistem perparitan yang sepatutnya tidak berlaku sehingga menyebabkan pencemaran bau.

“Pihak bomba telah membuka pili bomba di kawasan kilang untuk mengalirkan air di dalam sistem perparitan gudang bagi mengurangkan bau sehingga bacaan di paras yang selamat,” kata Mohd Iqbal. – MalaysiaGazette