Sebahagian daripada rampasan dadah pelbagai jenis benilai RM2.4 juta oleh JSJ Bukit Aman 16 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM2.4 juta dengan menjadikan dua unit pangsapuri sebagai stor penyimpanan bekalan haram itu akhirnya tumpas.

Tiga suspek lelaki yang disyaki berperanan sebagai penjaga stor berkenaan serta pengedar dadah berjaya ditangkap polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada 16 Mei lalu, pasukan JSJ Bukit Aman telah melakukan dua serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Bukit Puchong.

Dalam serbuan pertama lebih kurang pukul 1.50 petang, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia awal 50-an di hadapan lif pangsapuri berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg yang dibimbit oleh suspek berkenaan berjaya membawa kepada penemuan tiga bungkusan bewarna biru gelap dan oren yang mengandungi dadah disyaki syabu anggaran seberat 3.1 kilogram.

“Susulan penahanan suspek pertama itu, polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di aras tujuh pangsapuri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan dalam rumah pangsa berkenaan berjaya menjumpai 840 peket plastik biru yang mengandungi pil-pil dadah disyaki pil Yaba seberat 18.667 kg, 475 keping aluminium foil yang mengandungi pil-pil dadah disyaki pil Erimin 5 (1.3kg), satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi pilpil warna biru disyaki dadah jenis pil Ekstasi (anggaran berat 374 gram) dan 26 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki Syabu seberat 26.986 kg.

Sebahagian daripada rampasan dadah pelbagai jenis benilai RM2.4 juta oleh JSJ Bukit Aman 16 Mei lalu.

Tambah Wan Azlan, hasil soal siasat lanjut terhadap suspek pertama, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di aras 13 di pangsapuri yang sama.

Menurutnya, di rumah berkenaan, polis berjaya merampas lapan plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis Ketamin (anggaran berat 5990 gram), 25 keping aluminium foil mengandungi pil-pil dadah disyaki pil Erimin 5 (anggaran berat 71 gram) dan satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki dadah jenis Syabu (anggaran berat 18 gram).

“Dalam serbuan berasingan, polis telah menahan dua suspek lelaki tempatan berusia 50-an dan awal 30-an,” ujarnya.

Dalam serbuan berkenaan juga, polis telah merampas lima peket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah jenis Syabu (anggaran berat 30.64gram), satu balutan foil mampat berisi dadah disyaki Ganja (anggaran berat 24.51 gram) dan dua peket plastik lutsinar berisi (82) biji pil disyaki dadah jenis Yaba (anggaran berat 23.53 gram).

“Hasil kedua-dua serbuan polis turut menyita empat buah kereta, wang tunai berjumlah RM5,550 dan satu rantai leher daripada ketiga-tiga suspek itu dengan nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak RM2,471 juta dan nilai harta sitaan berjumlah RM 375,550,” ujarnya.

Hasil maklumat risikan dapati sindiket itu telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini dan keseluruhan dadah yang berjaya dirampas boleh digunakan oleh seramai 272,633 orang penagih.

Kesemua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan disahkan didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan mendapati kesemua suspek memiliki 26 rekod berkaitan kes jenayah dan dadah lampau.

Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 23 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette