Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail bersama Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib ditemui pameran harta tanah bumiputera (BPEX), hari ini.

KUALA LUMPUR – Golongan Bumiputera bakal menikmati tawaran potongan sehingga 15 peratus menerusi pembelian rumah dalam Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley pada 27 dan 28 Mei ini.

Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib berkata, lebih 4,000 unit kediaman untuk kuota bumiputera ditawarkan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada harga bermula dari RM250,000.

Katanya, pameran itu bertujuan mempromosi lot bumiputera yang belum terjual selain menggalakkan lebih banyak pemilikan bumiputera di kawasan Lembah Klang.

“Pameran BPEX yang berlangsung dua hari itu akan diadakan bermula dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Pelbagai bantuan ditawarkan kepada pembeli antaranya Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara (SKJP) dari Kementerian Kewangan.

“Ia khusus untuk individu yang tidak mempunyai slip gaji, golongan B40 dan juga anak muda yang masih belum membeli rumah pertama.

“Kita turut menampilkan sebanyak 50 pemaju perumahan yang sudah ditapis dan akan menawarkan kediaman di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai penganjuran pameran harta tanah bumiputera (BPEX), di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Sepanjang dua hari berlangsung, Norashikin berkata, pihaknya menyasarkan jualan lebih 80 peratus daripada 4,000 unit kediaman yang ditawarkan kepada bumiputera.

“Pada tahun lalu, BPEX berjaya mencapai sasaran dengan transaksi jualan melebihi RM50 juta sepanjang penganjuran pameran itu walaupun ekonomi negara sebelum ini terjejas dek pademik Covid-19.

“Selain menyediakan pameran jualan, pengunjung juga diberikan tips dan pendedahan berkaitan pembelian rumah daripada pakar hartanah yang akan diadakan pukul 12 tengah hari pada 27 Mei nanti,” ujarnya.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Sementara itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran BPEX selari dengan hasrat untuk membantu rakyat Selangor memiliki ‘Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera’.

Katanya, pameran BPEX mampu menjadi platform untuk mendidik bakal pembeli terutama golongan muda agar celik dalam pembelian hartanah.

“BPEX bakal menjadi pusat sehenti orang ramai yang tercari-cari bagaimana untuk memiliki rumah yang menepati citarasa mereka tetapi kemudahan lain seperti kuota Bumiputera yang disediakan kerajaan.

“Ada juga khidmat nasihat daripada pihak institusi kewangan selain SJKP yang turut sama bagi membantu mereka yang tiada slip gaji atau penyata kewangan jelas melalui prosedur tertentu.

“Ini adalah alternatif kepada pelbagai pihak terutama bumiputera yang tiada sokongan dari sudut penyata kewangan sebagai pemudahcara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast