Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena di Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kerajaan memberi penekanan kepada bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM) dalam berdepan perkembangan industri konduktor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai persediaan negara berdepan pasaran dalam industri itu yang bernilai AS$1 trilion pada 2030.

Jelas beliau, ia secara langsung akan membuatkan negara berada pada kedudukan ketujuh di persada antarabangsa bagi pengeluaran semi konduktor sekali gus  menyumbang 15 peratus kepada pasaran dunia.

Ahmad Zahid.

“Penekanan diberikan dalam bidang itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyebut mengenainya apabila terdapat penurunan ketara pelajar-pelajar yang meminati bidang STEM.

“Majlis TVET Negara turut memain peranan dengan menandatangani memorandum perjanjijan (MoA) dengan pemain industri supaya kursus-kursus yang ditawarkan dapat mengikut kehendak pasaran.

“Kita akan wujudkan tenaga kerja separa mahir, mahir dan profesional menerusi kursus pelbagai peringkat dalam bidang elektrik dan elektronik bagi mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena di sini hari ini.

Acara tiga hari itu mengumpulkan ketua-ketua industri pembuatan elektronik utama dunia bagi menerokai bidang berkenaan dengan lebih luas.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperluaskan kawasan lembah silikon di negeri ini terutama di kawasan Seberang Perai bagi menyediakan ruang bagi industri semi konduktor. – MalaysiaGazette