Kampung Kambing, Desa Wisata Cibuntu, Kabupaten, Kuningan Indonesia.

KUNINGAN, INDONESIA – Sebuah kawasan di Desa Wisata Cibuntu, Kabupaten di daerah ini mempunyai keunikan tersendiri apabila ia hanya dihuni haiwan ternakan bukan manusia.

Jadi, tidak hairanlah jika kampung itu sendiri dinamakan sebagai ‘Kampung Kambing’ dan ia sangat terkenal di kawasan Jawa Barat.

Terletak di bawah kaki Gunung Ciremai, kampung berkenaan sering menjadi tumpuan pengunjung tidak kira orang tempatan mahu pun pelancong asing ekoran keunikannya itu.

Berdasarkan pemerhatian, kandang-kandang yang menempatkan kambing itu dibina dengan menggunakan bumbung dari atap genting.

Menurut Seketris Desa Cibuntu, Ibnu Sungkawa, terdapat lebih 1,000 ekor kambing yang dipelihara di dalam kandang-kandang tersebut dengan mengggunakan keluasan tanah sebesar 1.5 hektar.

Katanya, setiap kambing ada pemiliknya dan tidak akan bertukar “tuan” kerana setiap petak di dalam kandang itu juga masing-masing sudah ditempah oleh pemiliknya.

“Setakat ini, ada lebih kurang 1,010 ekor kambing di sini dan jumlah itu sebenarnya sudah berkurang kerana banyak kambing yang sudah disembelih untuk dijadikan hidangan seperti mengadakan program sedekah bumi pada setiap tahun.

“Kambing-kambing yang dikumpulkan di dalam kandang di sini dimiliki oleh seramai 65 orang dan dalam kalangan penduduk Cibuntu sesiapa sahaja boleh memelihara haiwan ini di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sempena lawatan bagi pembukaan laluan baharu oleh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Kuala Lumpur – Ketarjati pada Rabu lalu.

Ibnu Sungkawa

Sungkawa berkata, ironi membuka sebuah perkampungan untuk dihuni haiwan berkenaan adalah sebagai satu cara agar perkampungan itu dilihat sistematik dan lebih teratur.

Ujarnya, tidak seperti kebiasaan di mana pengembala kambing akan memelihara ternakannya itu di lokasi masing-masing hingga menyebabkan najis haiwan itu dapat dilihat di mana-mana.

Katanya, keadaan seperti itu sudah pastinya akan meninggalkan kesan kurang selesa di mana najis-najis yang bersepahan akan menyebabkan kemunculan lalat hingga boleh membawa kepada jangkitan penyakit.

Tambah beliau, aktiviti menempatkan kambing di satu kawasan tanpa bercampur dengan kawasan penduduk telah bermula sejak 90-an lagi dan ia telah menjadi contoh untuk diikuti oleh banyak pihak.

Ditanya sama ada pernah berlaku kecurian haiwan ternakan itu susulan ditinggalkan di satu kawasan tanah tinggi di kampung berkenaan, Sungkawa berkata, ia tidak berlaku kerana Kampung Kambing itu sering ada yang menjaganya pada setiap masa.

“Tidak pernah berlaku lagi kecurian haiwan ternakan di sini dan kambing-kambing ini jumlahnya hanya ‘berkurangan’ pada musim perayaan seperti hari raya Aidiladha dan majlis kenduri sedekah bumi itu.

“Harga bagi seekor kambing yang dijual juga sekitar Rp3 juta (RM1,000) namun, ia juga bergantung kepada saiz haiwan yang hendak dibeli,” katanya.

Selain daripada kawasan perkampungan haiwan ternakan itu teratur, pengunjung juga dapat menikmati keindahan alam yang menghijau selain dapat menyedut udara segar dan nyaman.

Semua pengalaman itu dapat dirasai sekiranya pengunjung dari Malaysia menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia Malaysia yang sudah membuka laluan baharu ke wilayah tersebut dengan penerbangan sulungnya telahpun bermula pada 17 Mei lepas.

AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Kertajati daripada harga RM141 sehala.

Tambang bernilai hebat itu tersedia untuk penerbangan pergi balik daripada IDR616,600 sehala.

Promosi tersebut tersedia bermula pada 17 Mei hingga 21 Mei lalu untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast