Wira Md. Aris, 41, dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mengugut ibu kandungnya sendiri menggunakan pisau demi mendapatkan wang,

MELAKA – Padah mengugut ibu kandungnya sendiri menggunakan pisau demi mendapatkan wang, seorang duda tiga anak dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang juga seorang nelayan, Wira Md. Aris, 41, selepas membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkannya dengan menggunakan sebilah pisau dalam keadaan marah dan bengis untuk meminta wang.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di ruang dapur sebuah rumah di Bertam Malim dalam daerah Melaka Tengah pada 22 September 2022.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain ugutan dibuat ketika memegang pisau.

Sementara itu, peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh perlu menyara tiga anak dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan sebagai nelayan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bermula dari tarikh ditangkap Khamis lalu. – MalaysiaGazette.