Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu bahawa takwim sesi persekolahan pada Januari akan dimulakan pada Januari 2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan telah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

“KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalander akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara opitimum khususnya tempoh pembelajaran 32 hingga 36 minggu yang diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan korikulum persekolahan.

“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh KPM bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula pada awal Januari.

Menurut Fadhlina, kementeriannya akan mempercepatkan sesi persekolahan sesi 2024/2025 bermula bulan Februari 2025.

Ia bagi memastikan takwim persekolahan bagi 2026 dapat bermula pada Januari.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat termasuk perancangan cuti keluarga, kenduri kendara dan cuti-cuti cikgu dapat diatur,” katanya.

Sebelum ini, KPM dilaporkan memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast