KUANTAN – “Gula habis, tiada gula sudah lebih seminggu.”
Itu keluh seorang peniaga, Ng Bun Cheng yang menguruskan perniagaan runcit selama 40 tahun dan mengakui bekalan gula mula menyusut sejak Hari Raya Aidilfitri lagi namun ianya lebih serius sejak minggu lalu.
Malah, pemborong gula terbesar di daerah ini mendakwa terpaksa menunggu bekalan gula lebih lama kali ini, dakwanya.
Bun Cheng berkata, dia dimaklumkan masalah ini berlaku kerana kilang mengeluarkan gula pada skala kecil.
Disebabkan itu, pihaknya sukar untuk menjual gula kepada peruncit.
“Macam mana mahu jual gula, memang sudah berhari-hari tiada bekalan. Saya tengah tunggu treler gula, tengok ini palet gula kosong. Kalau dapat saya akan agih jual ke pasar raya dan peruncit,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.
Menurut Bun Cheng, jika dahulu, tempahan dengan kilang akan dapat dengan cepat berbanding sekarang.
“Zaman dulu jual tak ada peket punya, jual timbang sekilo dari dalam satu guni 50 kilogram (kg). Kalau dulu order dengan kilang kita akan dapat dalam minggu yang sama tapi sekarang sudah berminggu pun belum dapat,” katanya.
Bagi seorang pemilik kedai runcit, Ai Liu dari Kampung Bukit Setongkol di sini turut mengakui sukar mendapatkan bekalan gula.
Jika ada, dia terpaksa mengehadkan kepada tiga kilogram untuk seorang pelanggan.
“Walaupun stok (gula) tak putus, tapi bekalan sudah kurang 50 peratus.
“Kalau dulu boleh dalam 40 bundle kali 24 peket setiap minggu, sekarang dapat 10 hingga 20 sahaja. Jumlah ini hanya 30 peratus sahaja. Jadi saya terpaksa catu,” jelasnya.
Sementara itu, Gary Tham yang juga seorang pemborong tidak menafikan stok gula semakin menyusutn dan terpaksa mengehadkan jualan kepada peruncit lain.
Jika tidak, sukar untuk dia mengagihkan bekalan kepada para peniaga lain.
Setakat ini, dia terpaksa mengehadkan kepada empat bungkus kepada setiap pelanggan. Kalau kedai saya jual bundle pada harga RM67.50.
“Orang kilang kata bulan enam nanti baru ada stok semula. Sekarang kita bertahan dengan stok perlahan,” kata Gary. – MalaysiaGazette