Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Kerajaan Negeri Sabah mengadakan majlis penghormatan khas kepada pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub yang terkorban ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia itu.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pengorbanan Allahyarham perlu membawa bendera Malaysia bukan sahaja mengharumkan negara bahkan Sabah.

“Almarhum juga dikatakan turut membawa bendera negeri Sabah untuk dikibarkan semasa berjaya menawan gunung tertinggi di dunia itu.

“G57 berharap agar Kerajaan Negeri Sabah dapat menunggu mayat dan mengadakan majlis penghormatan khas rasmi kepada Almarhum.

“Selain misi mengharumkan nama negara dan negeri menawan gunung tertinggi dunia itu, Almarhum juga amat berjasa selepas berkhidmat dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Awang Iskandar meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, yang mempunyai ketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga akan memanjangkan cadangan itu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor agar penghormatan diberikan kepada Allahyarham.

“Malahan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang sedang berlangsung juga boleh diusulkan penghormatan tersebut.

“G57 juga berharap agar seluruh rakyat bukan sahaja di Sabah bahkan seluruh Malaysia turut menyedekahkan bacaan surah al-Fatihah kepada Almarhum.

“Dalam masa yang sama turut berdoa agar rakan Almarhum, Muhammad Hawari Hashim yang turut hilang dapat ditemui dengan keadaan selamat,” katanya.

Katanya, G57 turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang sedia menanggung kos penghantaran pulang jenazah Allahyarham ke Malaysia.

“G57 juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana bersetuju menanggung kos penghantaran pulang mayat Almarhum ke Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette