Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pembiayaan kewangan bukan bank iaitu Buy Now, Pay Later (BNPL) yang ditawarkan melalui platform e-dagang dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana BNPL mengenakan kadar caj yang tinggi jika pengguna terlewat bayar ansuran bulanan.

“Kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kad kredit. BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding KDNK yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021.

“Kadar hutang isi rumah di Malaysia pula yang semakin meningkat dari RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion.

“BNPL boleh memburukkan masalah keberhutangan isi rumah sekiranya tiada sebarang bentuk intervensi tuntas daripada kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Insolvensi Pindaan 2023 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan perkembangan itu kerana golongan muda mudah terjerat dengan hutang BNPL jika tiada kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank.

“Perkhidmatan BNPL semakin rancak di Malaysia, kerajaan perlu berbuat sesuatu bagi melindungi pengguna, khususnya belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang.

“Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24 peratus daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan,” kata bekas perdana menteri itu.

Muhyiddin juga mendedahkan, kes kebankrapan tertinggi antara 2019 hingga 2023 sebanyak 58.28 peratus melibatkan orang Melayu.

“Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, kes kebankrapan Cina hanya 24.96 peratus, India (7.91%) dan lain-lain (8.67%).

“Jika dilihat dari segi ambang keberhutangan, sebahagian besar kes kebankrapan (64.8%) adalah antara RM100,000 hingga RM499,999, manakala 20.96% untuk ambang antara RM50,000 hingga RM99,999,” katanya.

Katanya lagi, walaupun pindaan Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah dua kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang namun kerajaan perlu membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi.

“Ini penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

“Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara yang mungkin mengambil masa lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen,” katanya.

Tambah Muhyiddin, kebankrapan sepatutnya bukan satu bentuk hukuman dan skim pembayaran semula sebaliknya jika individu bankrap itu menjalani hukuman pada tempoh tertentu dan berkelakuan baik, pelepasan daripada status kebankrapan perlu diberi segera dan dipermudahkan.

“Saya juga menggesa agar diwujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel untuk seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan.

“Ini boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette