KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan, fenomena K-pop bukan sahaja memberi impak dari segi industri hiburan tetapi turut mendapat tempias dalam bidang produk makanan dan minuman.
Apa tidaknya, peminat K-pop bukan hanya obses semata-mata dengan artis kesayangan dari Korea itu. Malah mereka dalam masa sama mahu mencuba perkara lain secara keseluruhan termasuk meminati makanan yang berasal dari negara berkenaan.
Ia dapat dilihat apabila restoran tumbuh bagai cendawan pelbagai restoran dengan membawa konsep makanan dari Korea.
Salah satunya K-Town Korean BBQ (K-Town) yang menarik perhatian pengunjung seperti Danbam Cafe dalam K-Drama popular, Itaewon Class. Ini kerana dari jauh, restoran ini memang kelihatan cantik dengan lampu neon yang berwarna warni.
Yang menariknya tentang restoran K-Town ini, pelanggan berpeluang menikmati daging lembu, ayam dan makanan laut panggang yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.
Namun sempena Ramadan lalu, restoran ini telah memperkenalkan hidangan bertemakan’All-You-Can-Eat’ yang menyediakan 50 variasi menu termasuk 12 jenis minuman dengan pakej harga yang lebih jimat.
“Selain hidangan super lazat dan berkualiti, pelanggan akan diberikan layanan VIP, dimana petugas kami akan melayani mereka sepanjang menjamu selera.
“Matlamat K-Town, bukan sahaja mahu pelanggan merasai kelazatan makanan authentic Korea, malah mencipta momen manis buat mereka yang menjejakkan kaki ke premis kami,” kata pemilik K-Town, Andy Goh.
Menyedari ramai yang berkeinginan untuk mencuba makanan Korea namun kerana harganya yang sedikit mahal telah membataskan selera mereka.
Namun Andy memberitahu, harga bufet ditawarkan berpatutan iaitu RM79.00++ pada hari biasa dan RM89.00++ untuk hujung minggu.
Sementara kanak-kanak dan warga emas, mereka boleh menikmatinya serendah RM39.00++.
Mengulas lanjut, Andy mengakui, idea tercetus membuka restoran K-Town kerana mendapati ramai yang menggemarinya.
Tambahan pula, fenomena yang dicetuskan oleh bintang K-Pop dan K-Drama.
“Melihat ia sebagai satu peluang melebarkan pasaran dalam kalangan pelanggan Melayu, kami mahu K-Town dikenali sebagai restoran Korean berstatus halal di mana bekalan yang diambil adalah dari pembekal Melayu.
“Ramai yang tidak tahu, K-Town adalah sebuah syarikat berstatus pemilikan Bumiputera,” katanya.
Memiliki perancangan untuk menembusi pasaran Indonesia, Andy Goh berharap dapat membuka lebih banyak cawangan agar dapat mencipta peluang pekerjaan khususnya bagi mereka yang kehilangan kerja gara-gara pandemik Covid-19.
Sementara itu, dalam tempoh setahun lebih beroperasi, K-Town sudah pun mempunyai tiga cawangan.
Selain GVillage Desa Pandan, pelanggan juga boleh mengunjungi ke outlet Bukit Jelutong Shah Alam dan Holiday Villa, Johor Bahru. – MalaysiaGazette