Annuar Musa. Foto MUHD NA’IM, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa parti itu sudah menggerakkan langkah penerimaan DAP sebagai rakan sekutu sebenarnya sudah dirancang dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Jelas beliau, ia dibuktikan apabila ada perkiraan untuk membentuk jajaran baharu semata-mata untuk memberikan sokongan kepada parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

“Penerimaan DAP ini dirancang oleh pemimpin tertentu dalam UMNO, dua tahun sebelum pilihan raya lagi. Jadi kita akan ceritakan yang sebenarnya nanti jika perlu kita terpaksa dedahkan apa sebenarnya yang berlaku.

“Dua tahun lepas lagi sebelum PRU sudah dibuat perkiraan perhitungan jajaran baru untuk beri sokongan pada DAP sedangkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tak diberitahu.

“Jangan sekarang baru nak reka naratif menghalalkan tindakan kerana naratif itu bukannya naratif yang betul,” katanya dalam satu video berjudul ‘Naratif palsu nak menghalalkan DAP. Saya jawab!’ di Facebook rasminya hari ini.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata demikian merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan bagaimana UMNO harus berkawan dengan DAP.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kenyataan Ahmad Zahid mengenai penolakan DAP oleh orang Melayu disebabkan oleh faktor politik adalah sesuatu yang tidak betul.

Jelasnya, UMNO dahulu menolak keras sebarang kerjasama dengan DAP disebabkan oleh idelologi yang dibawa oleh parti tersebut.

“Sejak bila penolakan DAP soal orang Melayu, Cina, kalau soal orang Melayu ada dalam DAP, sekarang Zainal Rampak dulu DAP. Ahmad Nor dulu DAP, Naib Presiden (DAP) lagi.

“Kita orang Melayu semua tidak menerima DAP, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak menerima DAP, kerana ideologinya bukan kerana soal bangsa Melayu mahu pun Cina, jangan cuba mereka-reka alasan dan sebab menyembunyikan sebab sebenar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast