SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menemui varieti terbaharu dalam spesis periuk kera Nepenthes Rafflesiana iaitu var. Zabawiana.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, varieti terbaharu dalam dunia itu ditemui dalam penyelidikan di Taman Negara Rompin, Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu pada Mei tahun lalu.
Penemuan khazanah negara yang dikepalai Timbalan Pengarah BE2 MARDI, Dr. Mohd Norfaizal Ghazalli itu belum berdaftar atau diterbitkan di mana-mana jurnal perhutanan sebelum ini.
“Ia ditemui dalam dokumentasi projek penyelidikan yang dijalankan MARDI bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Periuk kera var. Zabawiana telah ditentusahkan secara rasmi oleh pakar botani UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad dan akan diterbitkan di jurnal jabatan perhutanan, Malaysian Forester,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Biodiversiti peringkat MARDI hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zabawi berkata, varieti kedua dalam famili Nepenthes Rafflesiana itu mempunyai bentuk seakan-akan telinga kecil berdekatan bahagian peristomnya yang berdiameter antara 0.5 sentimeter (sm) hingga 1.3 sm.
Warnanya pula hijau kekuningan dan hijau kemerahan manakala periuk atasnya mempunyai bentuk silinder yang lebih kecil.
“Spesimen itu mampu tumbuh subur di kawasan tanah rendah, tahan lasak dan mudah dibiakkan menggunakan keratan batang. Ia juga berpotensi untuk dijadikan tanaman hiasan yang menyediakan pemandangan lanskap yang menarik,” katanya lagi.
Bercakap mengenai perancangan pada masa depan berkenaan penemuan itu, Mohamad Zabawi berkata, pihaknya akan terus melakukan kajian selanjutnya untuk mengenal pasti potensi pasaran komersial.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, sambutan Hari Biodiversiti peringkat MARDI diadakan untuk memberi fokus kesedaran mengenai isu biodiversiti dan kepentingannya terhadap kelestarian pertumbuhan sektor pertanian.
Menurut Mohamad Zabawi, Hari Biodiversiti juga akan melihat hala tuju negara dalam pengurusan dan pelaksanaan biodiversiti bagi memenuhi implementasi kepada perjanjian antarabangsa sebagai komitmen negara.
“MARDI akan sentiasa memastikan hasil penyelidikan dapat mencapai sasaran terutamanya dalam aspek ketersediaan, kestabilan dan kemampanan sekuriti makanan negara tanpa mengabaikan kelestarian biodiversiti,” katanya. – MalaysiaGazette