JOHOR BAHRU –  Sebanyak 12 kawasan pembuangan dikenalpasti menjadi antara punca pencemaran di Sungai Skudai sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, lokasi itu ialah Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.

Turut dikenal pasti kawasan pembuangan sampay yang menyumbang kepada pencemaran Sungai Skudai ialah PPRT Melana Indah (Sungai Melana), Taman Damai Jaya, Kampung Laut, Kampung Pertanian, Kampung Separa dan Kampung Melayu Sengkang.

“Kami menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan, telah pun mengenalpasti hotspot sampah ini setelah kita lakukan usaha membersihkan kawasan tersebut secara gotong royong.

“Hasil semakan data yang dilakukan dalam tempoh dua tahun sampah sarap dikutip di Sungai Skudai, kutipan mencecah 30 tan sebulan tanpa adanya pengurangan.

“Jadi bila masuk tahun ketiga ini, kita ambil langkah kenal pasti kawasan punca pembuangan, jadi ini salah satu tempat (Kampung Pasir) punca sebelum sampah mengalir ke Sungai Skudai,” katanya selepas Program Johor Bersih Sungai Skudai di Rumah Pam Kampung Pasir, di sini, hari ini.

Menurut Raven, kerajaan negeri tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak termasuk penduduk yang merupakan punca pencemaran sungai itu dan beliau berharap kesedaran terhadap kebersihgan dapat ditingkatkan.

“Masyarakat masih buang sampah ke dalam longkang atau mana-mana tempat sebelum ia masuk ke Sungai Skudai.

“Kita tidak paksa semua orang buat gotong royong tetapi kesedaran agar jangan buang sampah merata-rata dan gunakan tong sampah yang sudah disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelasnya. – MalaysiaGazette