KUALA LUMPUR – Jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt kini berdepan kemungkinan disingkirkan susulan prestasi buruk pasukan itu.
Terbaharu pasukan bimbingannya tumbang 4-1 di tangan PDRM FC di laman sendiri, kelmarin.
Itu merupakan kekalahan kelima buat skuad ‘The Red Warriors’ dalam lima perlawanan di bawah kendalian Bernhardt sejak mengambil teraju daripada jurulatih sebelum ini, Choi Moon Sik, April lalu.
Kemungkinan bekas pengendali UiTM FC itu dipecat ada asasnya memandangkan sebelum ini, pemilik pasukan, Norizam Tukiman pernah menyatakan bahawa Bernhardt hanya boleh kalah sebanyak lima kali.
Sekiranya ‘kuota kekalahan’ itu dipenuhi maka Kelantan FC berhak menukar jurulatih memandangkan Bernhardt gagal meningkatkan prestasi pasukan.
“Saya tahu prestasi kamu dekat UiTM FC, kamu adalah jurulatih profesional, jadi saya harap kamu capai sasaran KPI kita tahun ini. Kalau tak capai, kita akan tukar (jurulatih).
“Takkanlah kita nak buat bodoh sahaja kalau dia tak capai sasaran ditetapkan. Tetapi dalam kontrak beliau (Bernhardt), kalau dia kalah lima kali, maka kita akan tukar,” kata Norizam dalam satu temu bual media sebelum ini.
Norizam turut mengakui persetujuan mengenai perkara itu sudah dicapai dengan Frank Bernhardt.
Untuk rekod, skuad ‘The Red Warriors’ dikendalikan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik pada awal musim, namun direhatkan hanya selepas enam perlawanan susulan hanya meraih satu kemenangan serta satu keputusan seri.
Ini menyaksikan Moon Sik menjadi jurulatih Liga Super pertama yang direhatkan pada musim ini dan tempatnya digantikan oleh Bernhardt yang memegang jawatan Pengarah Teknikal Kelantan FC, sebelum ini. – MalaysiaGazette