UMNO PH politik wang Najib rumah Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mencadangkan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan tahanan di rumah.

Menurut beliau, cadangan itu boleh dipertimbangkan pihak berkenaan sementara Najib menunggu proses pengampunan diraja terhadapnya selesai.

Isham memberitahu, secara teknikal, Najib boleh dianggap sebagai tahanan politik kerana terdapat banyak unsur politik dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bila dia masuk penjara, individu berprofil tinggi, unsur politik pun banyak, jadi kita boleh katakan dia tahanan politik.

“Mungkin boleh diusahakan beliau ditahan di rumah, kita kena usahakan.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu Najib dibebaskan, saya tengok banyak unsur ketidakadilan,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan melalui Facebook hari ini.

Pada 1 Mei lalu, Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, rayuan pengampunan oleh Najib akan dipertimbangkan untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan pada waktu yang sesuai.

Najib sudah memfailkan petisyen pengampunan dan memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen, antaranya salinan permohonan pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bertarikh 1 September tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kekal menjalani hukuman penjara setelah panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 pada 31 Mac lalu menolak permohonan beliau menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda atas sabitan bersalah dalam kes SRC International.

Pada 7 April lalu, MKT UMNO pula membuat ketetapan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Ketika ini, Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – MalaysiaGazette