Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor mahu beberapa pemimpin Melayu dari DAP bertanggungjawab atas tindakan mereka menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar menegaskan, dua pemimpin terbabit iaitu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Aziz Bari yang sebelum ini telah memfailkan afidavit berhubung isu berkenaan.

“Namun, malangnya agenda penggunaan kalimah Allah oleh agama lain disokong oleh kedua mereka dari parti DAP, berbangsa Melayu dan beragama Islam yang telah memfailkan afidavit tersebut sebelum ini.

“Mereka perlu bertanggungjawab atas tindakan ini, termasuk pimpinan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir kerajaan hari ini.

“Mereka langsung tidak menghiraukan kekacauan dan sensitiviti yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen mereka, malah turut dikesalkan terdapat individu lain yang bersama dalam usaha mengeliru dan memperjudikan kalimah Allah untuk digunakan sewenang-wenangnya oleh penganut agama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Sukri menggesa umat Islam di negara ini dan Selangor khususnya mengambil iktibar agar tidak bermudahan dalam memilih individu seperti itu menjadi pemimpin masyarakat mahupun negara.

Beliau mahu rakyat membuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dapat mengubah landskap politik negara yang lebih aman dan harmoni tanpa timbulnya isu agama serta perkauman.

Katanya, polemik penggunaan kalimah Allah masih lagi berlanjutan berikutan tindakan kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik semula kes rayuan tersebut pada 18 April lalu.

Jelas beliau, Isu melibatkan sensitiviti agama itu masih lagi hangat  dan diperdebatkan seluruh lapisan masyarakat, malah turut dibawa Ahli Parlimen dari blok Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Rakyat.

“Rakyat perlu sedar, penggunaan kalimah Allah ini bukan isu politik semata-mata, tetapi melibatkah akidah yang merentasi latarbelakang politik kepartian di negara ini.

“Lebih lagi apabila umat Islam hari ini terpaksa menangkis dan berperang dengan aliran pemikiran yang memperbodoh lagi menyesatkan umat Islam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette