Aminuddin Yahya Sultan kalimah Allah
Aminuddin Yahya

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain telah menepis naratif sumbang yang dibawa ahli-ahli politik tertentu.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya berkata, baginda menegaskankalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan meminta kerajaan memperhalusi dengan cermat keputusan berkaitan tindakan menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill.

Beliau mendakwa, titah Sultan Ibrahim itu juga secara tidak langsung membuktikan bahawa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya kes tersebut hanya berkaitan dengan Sarawak adalah tidak betul dan jauh lari dari fakta.

“Jika ia tiada kaitan dengan negeri-negeri lain, Tuanku Sultan Johor tidak akan bertitah sebegini dan majlis-majlis agama Islam negeri-negeri lain juga tidak akan menzahirkan kebimbangan dan kritikan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan semalam bertitah, penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat terutama umat Islam tidak akan dibenarkan di negeri itu selari dengan kedudukan Islam dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

Baginda berpandangan bahawa Kerajaan Persekutuan harus memperhalusi dengan cermat keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah serta kesan-kesannya kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.

Ia susulan keputusan pada 18 April lalu yang menyaksikan Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggii Kuala Lumpur bertarikh 10 Mac 2021 dalam semakan kehakiman Jill Ireland Bill terhadap Menteri Dalam Negeri.

Aminuddin mengingatkan bahawa sebelum ini Sultan Ibrahim pernah bertitah dengan tegas menyeru Kerajaan Persekutuan meneruskan prosiding rayuan tersebut.

Beliau memberitahu, baginda telah mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan tersebut sebelum ini.

“Malah, titah yang lebih kurang sama telah dikeluarkan oleh Sultan Selangor dan Sultan Kedah,” jelasnya.

Aminuddin berkata, semua itu telah melengkapkan bukti bahawa isu tersebut bukan isu baharu yang sengaja dimainkan oleh parti politik tertentu.

“Apakah selepas ini kerajaan masih berani meremehkan isu ini dengan menempelkan label ‘isu politik’ rentetan titah Tuanku ini?” soalnya. – MalaysiaGazette

Kerajaan harus perhalusi keputusan tarik balik rayuan kes kalimah Allah – Sultan Johor