MELAKA – Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut digilis lori ketika bermain di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga petang tadi.
Dalam kejadian pukul 5.25 petang itu, mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga ketika mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celahan pokok berhampiran lokasi kejadian.
“Pada masa sama sebuah lori jenis Daihatsu Delta dipandu lelaki berusia 37 tahun ingin keluar simpang dan telah memastikan keadaan selamat ketika itu.
“Bagaimanapun mangsa dipercayai tiba-tiba keluar dari arah celahan pokok dan berlari ke arah lori yang sedang bergerak keluar dari simpang itu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Keadaan itu, katanya. mengakibatkan pemandu lori yang tidak menyedari kehadiran mangsa terlanggar sebelum menggilis mangsa.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Pemandu lori terbabit turut dibawa ke bahagian kecemasan untuk ujian sampel darah bagi mengesan jika terdapat kandungan alkohol dan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette