guru kelas
Gambar Hiasan. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 JANUARI 2017.

KAJANG – Kerajaan disaran supaya menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana berusaha memperkemaskan diri bagi memantapkan lagi pendidikan demi anak bangsa.

Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, ketika ini gaji guru yang memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD) adalah sama dan ia wajar untuk dikaji semula.

Katanya, kerajaan harus memberikan insentif kepada guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi agar mereka dapat merasakan pentingnya perlu untuk sambung belajar bukan sahaja menambah ilmu, sebaliknya boleh meningkatkan gaji dalam bidang yang diceburi.

“Di Finland, minimum untuk jadi cikgu adalah masters (sarjana) sebab mereka percaya nak jadi guru kenalah orang yang experts (pakar).

“Pada saya guru-guru yang ada sarjana ni kita kena bagi satu kenaikan satu tangga gaji. Cikgu yang ada PhD bagi dua tangga gaji.

“Saya percaya dengan cara itu kita akan dapat melonjakkan kualiti guru untuk terus belajar dan mereka boleh berbincang pasal pendidikan, wacana berkenaan pedagogi sebab mereka itu berada dalam bidang ilmu itu sebati dalam diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada program Minda Profesor bertajuk Sistem Pendidikan Di Malaysia: Mitos dan Realiti anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), di sini, hari ini.

Dr. Anuar Ahmad

Anuar berkata, pemberian insentif menerusi kenaikan tangga gaji juga merupakan langkah yang dapat membezakan guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi kerana sudah tentu mereka memliki pengetahuan lebih hebat untuk digarap dalam mendidik pelajar.

Ujarnya, tumpuan harus diberikan kepada guru-guru yang menyambung pengajian sekiranya hasrat mahu memperbaiki sistem pendidikan di negara ini menjadi lebih baik.

“Dalam negara ini kita kena berpegang bahawa guru merupakan kunci kepada sistem. Kalau guru hebat, sistem akan jadi hebat, guru cemerlang sistem pun akan jadi cemerlang,” tambahnya. – MalaysiaGazette