Armizan Mohd Ali. Foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan mewujudkan Kementerian Khas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di kedua-dua negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu akan mengakibatkan berlakunya pertindihan fungsi.

Dalam masa yang sama katanya, kewujudan kementerian khas untuk kedua-dua negeri borneo itu dikhuatiri bakal menjejaskan usaha penurunan kuasa.

“Kalau tanya saya pastinya saya inginkan kementerian sendiri untuk Sabah dan Sarawak tapi lebih wajar kita beri fokus dan komitmen sepenuhnya kepada untuk kita selesaikan isu tertangguh berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana itu asas dan mandat penubuhannya.

“Kita perlu lihat semangat prinsip MA63 itu untuk beri kuasa kepada Sabah dan Sarawak. Jadi setakat ini kita perlu menjunjung prinsip itu tanpa perlu mewujudkan kementerian khusus yang akhirnya kelak mungkin bukan hanya menyebabkan pertindihan di peringkat persekutuan tapi menjejaskan usaha menurunkan kuasa.

“Biarlah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BESS) berfungsi sebagai sekrateriat di antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak tanpa perlu mengganggu gugat fungsi-fungsi di setiap kementerian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Foi (GRS).

Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tidak bercadang untuk mengambil alih pengurusan air di Sabah kerana BESS khususnya tidak mempunyai peranan secara langsung terhadap isu berkenaan.

Sebaliknya Armizan menjelaskan, pengurusan air berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tidak (akan ambil alih) kerana air merupakan bidang kuasa negeri selaras dengan senarai 2 jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan, jadi Tawau tidak perlu risau kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan sentiasa menghormati hak dan kepentingan negeri termasuk bidang kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Tambahnya, kini rundingan di antara kementerian berkaitan sedang dijalankan demi memastikan masalah air yang berlanjutan di negeri tersebut dapat diselesaikan.-MalaysiaGazette