Rossa akan mengadakan konsert Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai depan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Rossa kembali ke negara ini menghiburkan peminatnya menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai depan.

Dan seperti dijangka, kemunculannya itu dinanti peminat setianya yang digelar Pencinta Rossa apabila semua tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa 24 jam.

Akur dengan permintaan ramai, penganjur yang enggan menghampakan peminat diva tersohor Indonesia itu bersedia menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.

“Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk bersama-sama berhibur,” kata Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri dalam satu kenyataan.

Konsert Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration selepas meraih sukses luar biasa menerusi konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 2.

Mengulas mengenai sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning, Rossa, 44, terharu kerana kemunculannya terus dinanti ramai.

Disebabkan enggan menghampakan harapan peminat, dia bersedia untuk beraksi satu malam lagi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan itu.

Konsert Another Journey: The Beginning kata Rossa, sedikit istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti,” katanya dalam kenyataan sama.

Tidak bersendirian, konsert itu menyaksikan Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.

Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.

Dream Collaboration dibawakan Inspire.IDN dan didukung oleh HotBox, Chatime, VGI dan Zepp Kuala Lumpur.

Tiket untuk persembahan 13 Julai berharga RM178, RM198, RM388, RM508, RM688 dan RM8,888 (Royal Box) boleh diperoleh menerusi pautan: ticket2u.com.my pada 26 Mei ini, bermula jam 3 petang atau hubungi talian: 016-703 0512 (Inspire). – MalaysiaGazette