KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat institusi antarabangsa iaitu Central Queensland University Australia, Aviation Australia, Al-Maaqal University Iraq dan Al-Mustaqbal University Iraq, sebagai sebahagian komitmennya merangsang kerjasama global dan meningkatkan kecemerlangan akademik.
Dalam kenyataan hari ini, UNITEN berkata perjanjian kolaborasi itu bertujuan memudah cara pelbagai inisiatif termasuk pembangunan program bersama, projek kolaborasi penyelidikan, pertukaran pelajar dan program mobiliti, serta peluang pembangunan profesional untuk kakitangan akademik.
Kerjasama itu akan turut mengalakkan pertukaran akademik, membolehkan perkongsian pengetahuan, penerbitan dan bahan akademik, katanya.
Naib Canselor UNITEN Prof Dr Noor Azuan Abu Osman berkata kerjasama tersebut membuktikan universiti itu berada pada landasan yang betul untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Kami teruja dengan usaha pengantarabangsaan ini menerusi pemeteraian MoU-MoU ini. Langkah strategik ini mempamerkan komitmen tidak berbelah bahagi UNITEN kepada penglibatan global dan mengetengahkan dedikasi kami untuk menyediakan kepada pelajar dan fakulti, pengalaman pendidikan yang menarik serta meninggalkan kesan mendalam,” katanya.
Majlis di Kuala Lumpur itu menyaksikan Dr Noor Azuan; Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Central Queensland University Prof Steve Hall; Dekan Eksekutif Pendidikan Tinggi dan Teknologi Baharu Muncul Aviation Australia Prof Talal Yusaf; Canselor Al-Maaqal University Prof Dr Badir N. Albadran dan Presiden Al-Mustaqbal University Prof Dr Hasan Shakir Majdi menandatangani MoU tersebut.
UNITEN berkata kolaborasi itu merupakan langkah penting bagi universiti itu dalam menggalakkan persekitaran yang memberangsangkan untuk pertukaran akademik dan usaha sama antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, MoU tersebut menunjukkan kesungguhan UNITEN untuk kekal di hadapan dalam inovasi akademik, membolehkan pelajar dan fakulti memperluas pengalaman mereka menerusi pelbagai peluang pendidikan dan penyelidikan.- BERNAMA