Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar US minggu depan berikutan tarikh akhir ditetapkan pada 1 Jun depan untuk menyelesaikan krisis siling hutang Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ringgit diniagakan lebih kukuh pada Jumaat selepas beberapa perkembangan positif terhasil dalam perbincangan siling hutang AS, mencetuskan harapan bahawa perjanjian itu boleh dicapai sebelum 1 Jun ini.

Bagaimanapun, jika pasaran terus menetapkan harga dalam prospek pertumbuhan AS yang lebih baik dan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan cenderung menaikkan kadar faedah, ia akan menyebabkan ringgit akan berprestasi rendah, katanya.

“Berdasarkan prospek Fed yang dilihat akan menaikkan kadar faedah, kita boleh melihat ringgit didagangkan pada paras antara 4.59 hingga 4.61 minggu depan.

“Dan jika data AS (ekonomi) kekal sama dan perjanjian siling hutang AS ditandatangani, ini boleh meningkatkan kemungkinan bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah pada bulan Jun,” katanya kepada Bernama.

Mengenai indeks harga pengguna (IHP) Malaysia, Innes berkata inflasi Malaysia menyederhana kepada 3.3 peratus pada April disebabkan oleh harga makanan lebih rendah manakala inflasi teras yang yang tidak termasuk barangan seperti makanan segar dan tenaga, juga jatuh kepada 3.6 peratus tahun ke tahun (Mac: 3.8 peratus).

“Ia adalah berita baik untuk ekonomi yang lebih luas, justeru ringgit didagangkan lebih baik mengikut dorongan tempatan,” tambahnya.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, IHP terkini menunjukkan trend disinflasi terus berleluasa.

“Sehubungan itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) harus kekal pada 3.00 peratus sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, ringgit susut berbanding sekumpulan mata wang utama dalam tempoh tujuh hari.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun berbanding dolar US kepada 4.5970/6035 berbanding 4.5350/5405 minggu sebelumnya.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2918/2967 daripada 3.2839/2881 sebelumnya, ia berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6819/6899 daripada 5.6370/6438 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding euro kepada 4.9340/9409 from 4.8978/9037 minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan menguncup berbanding baht Thai kepada 13.2539/2784 daripada 13.1862/2083 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4012/4062 daripada 3.3715/3758 sebelumnya, ia berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 307.3/307.9 daripada 303.6/304.2 minggu lepas dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.25 daripada 8.14/8.16 sebelumnya. – BERNAMA