Home Utama Kerajaan Negeri Pahang akan teliti kes Maisarah

Kerajaan Negeri Pahang akan teliti kes Maisarah

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan keprihatinan dan sedia membantu kanak-kanak perempuan orang Asli yang menjadi mangsa perebutan hak jagaan setelah penceraian ibu bapanya yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan sama ada dari aspek pendidikan, agama mahupun kebajikan kanak-kanak itu.

Jelasnya kerajaan negeri sedia memainkan peranan tanpa mempengaruhi atau menguasai keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah sebaliknya menerima keputusan badan perundangan itu.

”Isu Maisarah telah dibicarakan, dan kerajaan negeri pun bersimpati dan mengetahui isu ini setelah diputuskan oleh mahkamah. Kami (kerajaan negeri) tidak akan mengabaikannya  seandai mempunyai maklumat awal.

”Dari segi agama kita jaga kepentingan agama dia perlu bantuan kita sesuai dengan proses undang-undang. Dari segi kebajikan begitu juga, dari segi pendidikan juga dan semua.

”Dan saya sendiri sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)  untuk mengambil langkah proaktif dalam hal ini supaya anak ini jangan sampai terbiar.

Demikian reaksi beliau berhubung sebuah video tular seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Maisarah yang menangis teresak-esak sambil dipujuk oleh ibu kandungnya di perkarangan mahkamah di sini.

Menerusi video berdurasi 1 minit 31 saat itu, Maisarah berbaju merah jambu berpelukan dengan ibunya yang berpurdah sambil diperhatikan oleh pegawai polis wanita selepas selesai prosiding mahkamah berkaitan hak jagaan.

Kanak-kanak berusia 9 tahun merupakan anak kepada pasangan orang asli yang telah becerai dan dijaga ibunya yang telah memeluk Islam.

Hantaran video tersebut  dilaporkan dan dimuatnaik oleh pempengaruh Yuseri Yusuf  di Instagram  miliknya itu meraih sehingga lebih 100,000 tontonan.

Difahamkan kanak-kanak tersebut terbabit dengan kes dera, buli, serta dipaksa minum arak ketika di bawah jagaan ayahnya yang belum memeluk Islam serta dikatakan bersekedudukan dengan wanita lain.

Menyedari situasi itu, si ibu yang dikenali sebagai Aisyah kemudiannya bertindak melarikan anaknya ke Kuala Terengganu.

Ekoran itu, bekas suaminya memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat peguam.

Mahkamah Tinggi Kuantan kemudiannya memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya menerusi perintah ’Habeas Corpus’ pada Khamis.

Jelas Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan membantu segala keperluan  tanpa mengabaikan kanak-kanak itu dari semua segi termasuk mental dan emosi.

Bahkan beliau turut meminta Penasihat Undang-undang negeri ini meneliti apakah proses yang boleh dilaksanakan bagi membantu kebajikan kanak-kanak itu tanpa melanggar sebarang undang-undang berkaitan.

Mengulas lanjut, pihaknya menjelaskan kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kemelut yang menimpa keluarga itu sekiranya mendapat makluman awal.

Namun kes tersebut dikendalikan luar pengetahuan pihaknya yang mana Maisarah dan ibunya berada di luar Pahang ketika kejadian berlaku.

Malah,  Syed Ibrahim turut menyokong usaha ibu kanak-kanak tersebut memfailkan rayuan berhubung kes berkenaan di Mahkamah Rayuan.

“Banyak agensi terlibat dalam kes ini seperti JAKOA, MUIP, JAIP dan JKM. Perlu ikut prosedur kalau ada maklumat sampai pengetahuan kami. Dia (Maisarah) orang Pahang tapi dia duduk di Terengganu jadi sukar untuk ambil tindakan segera.

”Ayahnya ada hak menjaga anak, walau bagaimanapun kami sokong hasrat keluarga si ibu untuk merayu sekiranya proses rayuan kepada kes ini untuk hak ibunya menjaga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada NGO yang aktif masuk keperkampungan orang asli Konon nya untuk membantu tetapi tumpuan nya untuk mengembang kan agama tertentu…

Comments are closed.