Yahaya Othman

KUANTAN – Polis menerima laporan daripada ibu kepada kanak-kanak perempuan Orang Asli di Rompin semalam yang mendakwa tentang pengabaian terhadap kanak-kanak itu oleh bapanya.

Kanak-kanak berusia 9 tahun, Maisarah, merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang telah becerai dan dijaga ibunya yang telah memeluk Islam namun menjadi mangsa perebutan hak jagaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

”Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang telah mengeluarkan Notis Harbeas Corpus pada 25 Mei lalu.

”Suspek mangsa akan hadir ke mahkamah sebagai mana arahan mahkamah pada 29 Mei ini, justeru pihak polis untuk membuat siasatan lanjut setelah selesai urusan tersebut,” katanya ketika di hubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Menerusi video berdurasi 1 minit 31 saat yang tular, Maisarah berbaju merah jambu berpelukan dengan ibunya yang berpurdah sambil diperhatikan oleh pegawai polis wanita selepas selesai prosiding mahkamah berkaitan hak jagaan.

Difahamkan kanak-kanak tersebut terbabit dengan kes dera, buli, serta dipaksa minum arak ketika di bawah jagaan ayahnya yang belum memeluk Islam serta dikatakan bersekedudukan dengan wanita lain.

Menyedari situasi itu, si ibu yang dikenali sebagai Aisyah kemudiannya bertindak melarikan anaknya ke Kuala Terengganu.

Ekoran itu, bekas suaminya memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat peguam.

Mahkamah Tinggi Kuantan kemudiannya memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya menerusi perintah ’Habeas Corpus’ pada Khamis. – MalaysiaGazette