IPOH – Para pengamal media dinasihat untuk berani melontarkan sebarang teguran kepada kerajaan.
Perkara itu menjadi harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melahirkan wartawan yang berani, bukan sekadar pelapor berita.
“Media di negara ini harus bebas sepenuhnya. Perubahan yang mahu dilakukan oleh wartawan bukan sekadar merakam tapi mencetuskan nilai. Ini juga termasuk kritikan terhadap Perdana Menteri atau pimpinan kerajaan.
“Kita mahu terapkan nilai, bukan fahaman sempit yang boleh memecahkan rakyat. Bukan pemikiran jumud dalam fahaman agama dan bukan bermain dengan kedangkalan perkauman yang cetek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berpendapat, industri persuratkhabaran negara masih relevan walaupun kini berdepan dengan peralihan digital.
Katanya, beliau sehingga ke hari ini masih memilih untuk membaca surat khabar.
“Setiap hari saya tengok perkembangan media sosial. Saya baca surat khabar dan itu satu perkara yang wajib saya teruskan. Pandangan saya, surat khabar masih ada peranan yang tinggi dan wajar,” ujarnya.
Sementara itu, majlis hari ini turut diserikan dengan Anugerah Hawana 2023 yang dirangkul oleh kartunis tersohor, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat.
Karyanya diiktiraf selepas ia mampu menjadi medium komunikasi berkesan dalam memupuk perpaduan kaum serta memberi mesej sosial masyarakat yang membina. – MalaysiaGazette