Gambar hiasan

ROM – Sekurang-kurangnya dua orang maut selepas bot yang membawa lebih 20 penumpang, termasuk pelancong, karam ketika angin bertiup kencang pada petang Ahad di Tasik Maggiore di utara Itali, kata media tempatan.

Dua lagi mangsa dilaporkan masih hilang.

Perkhidmatan bomba Itali berkata, 19 orang selamat tetapi pencarian mereka diteruskan untuk mengesan mangsa yang dilaporkan hilang.

Attilio Fontana, presiden wilayah Lombardy berkata, tragedi yang menyedihkan disebabkan cuaca buruk.

Menurutnya, bot itu sepanjang 16 meter disewa oleh para pelancong.

Menurut media La Repubblica, bot itu membawa 25 orang ketika ia karam dan terbalik tidak lama kemudian.

Semua orang di atas bot jatuh ke dalam air tetapi ramai penumpang berenang ke darat atau diselamatkan oleh bot lain, lapor media Itali yang lain.

Pasukan penyelam dan sebuah helikopter telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan.

Tasik Maggiore di sebelah selatan Alps yang terletak antara Itali dan Switzerland merupakan destinasi popular untuk pelancong.

Kawasan itu diramal mengalami cuaca buruk dengan perkhidmatan meteorologi Itali mengeluarkan amaran ribut petir. – Agensi