PUTRAJAYA – Kes Penolong Akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang ditahan kelmarin kerana disyaki pecah amanah membabitkan jumlah RM24.8 juta dianggap satu perbuatan yang licik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kes dilakukan untuk satu tempoh yang lama iaitu lapan tahun yang dipercayai menggunakan identiti sembilan individu dalam KESEDAR.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, pihaknya tidak akan berkompromi kerana perkara itu membabitkan wang rakyat dan tindakan tegas iaitu menggantung tugas individu terbabit sudah diambil mengikut tata kelola Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya mengambil tindakan tegas dan saya tidak akan pernah berkompromi kerana ini adalah wang cukai rakyat yang sepatutnya digunakan untuk peneroka Kesedar tetapi sebaliknya individu berkenaan guna untuk kepentingan peribadi.
“Tangkapan telah dibuat, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mengambil tindakan perundangan dengan segera,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 12.21 tengah malam oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang dan direman tujuh hari bermula kelmarin.
Penahanan itu susulan laporan diterima polis berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar mengenai kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023. – MalaysiaGazette