KUALA LUMPUR – Berita baik buat mereka yang belum pernah menjejaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.
Ini kerana dengan hanya menghantar video dan coretan di media sosial tentang keinginan masing-masing untuk menunaikan umrah, siapa sangka rezeki dapat ke sana.
Bagi merealisasikan impian itu, Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn. Bhd. (MATTSB) kini menawarkan pakej umrah sempena menyambut ulang tahun ke-10 dalam industri.
Pengarah Urusannya, Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, video dan coretan tersebut hendak dikongsi di media sosial masing-masing.
“Mereka perlula memastikan hantaran tersebut mendapat Like sebanyak mungkin selain perlu mengikuti semua laman sosial Mursyid Alharamain.
“Hadiah pakej umrah ini ditawarkan kepada semua kerana menghargai pelanggan dan kami juga ingin berkongsi kegembiraan dan rezeki yang dikurniakan Allah sehingga dapat bertahan dan berkembang maju sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Mursyid menambah, pihaknya sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan kepada pelanggan sepanjang perjalanannya membangunkan empayar perniagaan sepanjang 10 tahun.
Komitmen itu katanya dibuktikan apabila syarikat berjaya membuka restoran dan katering sendiri di Mekah dan Madinah sebagai usaha mengembangkan lagi sayap perniagaannya di Tanah Suci. – MalaysiaGazette