KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan yang memenangi pilihan raya sebagai presiden untuk lima tahun lagi.
Anwar percaya, kejayaan Erdogan mempertahankan kedudukan sebagai presiden membolehkan Turkiye terus memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa.
Dalam ciapan di Twitter, Perdana Menteri berharap Malaysia dan Turkiye akan terus dapat menjalinkan kerjasama.
“Tahniah kepada Presiden Erdogan kerana dipilih sebagai Presiden Republik Türkiye ke-13 dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.
“Türkiye akan terus memainkan peranan yang membina sebagai pemain serantau dan global yang penting.
“Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan Türkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada,” kata Anwar.
Erdogan memenangi 52.14 peratus undi dalam pemilihan presiden menentang pesaingnya Kemal Kilicdaroglu, yang memperoleh 47.86 peratus undi.
Beliau menambah, sebanyak 196,744 peti undi atau 99.43 peratus daripada kesemuanya telah dibuka.
Pada pusingan pertama pemilihan presiden pada 14 Mei, Erdogan memperoleh 49.52 peratus undi manakala Kilicdaroglu menerima 44.88 peratus.
Erdogan yang mewakili Perikatan Rakyat, terdiri daripada Parti Keadilan dan Pembangunan yang memerintah dan Parti Gerakan Nasionalis, memperoleh majoriti 323 kerusi dalam parlimen 600 kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen, manakala enam parti pembangkang blok Nation Alliance menerima 212 kerusi.
Pilihan raya berkembar itu menyaksikan peratusan keluar mengundi yang tinggi pada 86.98 peratus, dengan hampir 54 juta rakyat keluar mengundi.
Erdogan, yang memimpin negara itu sejak menjadi perdana menteri pada 2003, menjadi presiden pertama Türkiye pada 2018 berikutan referendum perlembagaan pada 2017 yang mengubah sistem parlimen Türkiye kepada sistem presiden.
Erdogan menjanjikan “abad Turki” baharu jika beliau dipilih semula.
Beliau juga menegaskan jawatan presiden sebagai keperluan untuk keharmonian dalam kalangan institusi negeri dan kestabilan dalam negara kerana pakatannya memegang majoriti di Parlimen.-MalaysiaGazette