Anggota bomba memadam kebakaran lapan pintu rumah kongsi di tapak pembinaan perumahan Taman Bertam Impian, Melaka yang musnah dalam kebakaran petang tadi.

MELAKA – Kira-kira 100 buruh warga Indonesia dan Bangladesh  bukan sahaja kehilangan kediaman malah ribuan ringgit wang simpanan mereka turut hangus dalam kebakaran rumah kongsi di Bertam petang tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian sekitar pukul 6.10 petang, semua pekerja binaan yang mendiami lapan pintu rumah kongsi di tapak pembinaan perumahan Taman Bertam Impian itu terselamat.

Seorang mangsa warga Indonesia, Herman, 46, berkata, ketika kejadian, dia dan rakan-rakannya sedang bekerja sebelum terdengar letupan kuat dari arah rumah kongsi berkenaan.

“Saya melihat api tiba-tiba merebak begitu cepat menyebabkan kami panik dan berlari untuk cuba menyelamatkan barangan berharga seperti dokumen diri dan wang simpanan.

“Namun segalanya sudah terlambat dan saya dan isteri kerugian lebih RM5,000 yang dikumpul dua bulan untuk dihantar ke kampung halaman di Madura, Indonesia untuk perbelanjaan sekolah anak,” katanya ketika ditemui di lokasi malam ini.

Mohamed Azuani Mat Yusuf

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penguasa Bomba Kanan II, Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 6.14 petang.

“Sebaik tiba, rumah kongsi di tapak bina yang terletak jauh ke dalam dari jalan utama ini yang didiami kira-kira 100 buruh warga asing sudah 95 peratus terbakar.

“Ini memberi cabaran besar apabila anggota bomba dari BBP Tangga Batu, Cheng dan Ayer Keroh terpaksa berulang alik sejauh satu kilometer untuk mendapatkan sumber air,” katanya.

Tambahnya, api bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.31 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette