Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan telah menghentikan operasi merampas jam tangan Swatch siri pelangi atau Pride.

KUALA LUMPUR – Swatch Malaysia menafikan dakwaan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa jam yang dirampas mereka pada awal bulan ini tertera tulisan LGBTQ yang merujuk kepada lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer.

Sebaliknya, syarikat pengeluar jam tangan itu berkata, produk yang dirampas itu adalah pada tahun lalu.

“Berkaitan dengan berita yang baru diterbitkan yang menyatakan bahawa semua jam tangan Swatch yang dirampas mempunyai perkataan LGBT, Swatch Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Jam tangan yang berkaitan adalah daripada koleksi tahun ini dan tidak mempunyai perkataan LGBT di dial, tali atau case.

“Satu-satunya jam tangan yang dirampas dengan perkataan LGBT adalah daripada koleksi tahun lepas,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kenyataan Saifuddin Nasution semalam bahawa jam yang dirampas tertera huruf “LGBTQ” di atas permukaan jarum jam tangan Swatch yang dirampas oleh kementeriannya awal bulan ini.

Menteri itu berkata, model jam tangan serupa tidak dijual di negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Serbuan KDN pada 13 dan 14 Mei lalu dibuat terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi jam warna-warni Pride dibuat di seluruh negara.

Serbuan dibuat di Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Manakala lima lagi kedai Swatch diberi amaran – KTCC (Terengganu), Aeon KB, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Untuk rekod, warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang juga dirujuk sebagai LGBTQ. – MalaysiaGazette