Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus.

KENAIKAN  kadar dasar semalaman atau OPR kepada 3.0% oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah menimbulkan kegusaran mengenai kesannya terhadap ekonomi Malaysia terutamanya dalam kalangan rakyat terbanyak. Untuk rekod, OPR telah dinaikkan sebanyak 25 mata asas secara berperingkat pada Mei, Julai, September dan November tahun lalu kepada 2.75% berbanding paras rekod terendah 1.75% pada Julai 2020 iaitu sewaktu negara sedang dibadai pandemik COVID-19. Para pendukung peningkatan ini berpendapat bahawa penjajaran semula kadar OPR kepada kadar
pra-pandemik adalah langkah berhemat demi menangani tekanan inflasi dan menjaga kestabilan kewangan. Malahan, mereka turut menegaskan bahawa OPR yang lebih tinggi boleh membantu membendung aktiviti peminjaman yang berlebihan, mengelakkan gelembung aset, dan menarik pelaburan asing.

Walau bagaimanapun, para pengkritik pula berpendapat bahawa pemasaan (timing) kenaikan OPR yang tidak selari dengan daya usaha pemulihan ekonomi oleh kerajaan sekali gus bakal melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan. Bahkan, mereka juga berpendapat bahawa kenaikan OPR menatijahkan kos pinjaman yang lebih tinggi dan mengurangkan pelaburan swasta yang mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi. Selain itu, kenaikan OPR juga membebankan isi rumah dan perniagaan yang sedang bergelut dengan kadar keberhutangan tinggi yang kemudiannya bakal mengakibatkan peningkatan kemungkiran pinjaman.

Malahan, terdapat gesaan dari pelbagai pihak terutamanya daripada peminjam agar kerajaan membuat perancangan tahunan mengenai kenaikan OPR dan memaklumkan lebih awal supaya rakyat dapat merancang perbelanjaan. Kendatipun begitu, pada hakikatnya, kerajaan tidak mempunyai sebarang pemberatan (weightage) atau mempunyai kuasa untuk mempengaruhi dasar monetari negara kerana keputusan mengenai kenaikan (dan penurunan) OPR dikawal sepenuhnya oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM.

Untuk rekod, MPC secara khususnya dan BNM secara umumnya telah dipertanggungjawab untuk menggubal, melaksana dan mengendalikan dasar monetari negara. Salah satu alat monetari di bawah bidang kuasa MPC ialah penetapan kadar OPR yang mempengaruhi kos pinjaman untuk isi rumah, perniagaan dan kerajaan. Melalui pelarasan kadar OPR, MPC boleh mempengaruhi kredit dan bekalan wang dalam ekonomi yang boleh memberi mengawal kadar inflasi, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan. Selain daripada OPR, MPC juga menggunakan pelbagai alat dasar monetari, seperti operasi pasaran terbuka dan penetapan keperluan rizab berkanun (statutory reserve requirement) oleh bank-bank di bawah pengawal seliaan BNM untuk terus mempengaruhi ketersediaan dan kos kredit dalam pasaran kewangan negara. Melalui fungsi-fungsi ini, MPC berusaha untuk mencapai keseimbangan antara menyokong pertumbuhan ekonomi yang mapan dan mengekalkan kestabilan harga di negara ini.

Satu fakta yang sangat penting mengenai MPC namun jarang disingkap umum ialah betapa MPC merupakan jawatankuasa bebas dengan tahap autonomi yang tinggi dan terlindung daripada campur tangan politik. Untuk makluman, para anggota MPC telah dipastikan untuk tidak terkait dengan mana-mana parti politik atau kumpulan berkepentingan bagi memastikan mereka boleh membuat keputusan yangdipacu data (data-driven) dan analisis ekonomi teguh (robust economic analysis). Selain itu, MPC mempunyai mandat yang jelas untuk mengekalkan kestabilan harga dan menyokong
pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan keputusannya dipandu oleh rangka kerja yang telus dan berasaskan peraturan yang tertakluk kepada penelitian awam.

Untuk rekod, MPC dianggotai oleh lapan orang ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, 3 orang Timbalan Gabenor, dan 3 orang Penolong Gabenor. Manakala baki dua lagi anggota MPC dipilih oleh BNM berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang ekonomi, kewangan, dan bidang berkaitan sama ada ahli akademik, sektor swasta, atau agensi kerajaan yang lain.

Mereka dilantik oleh kerajaan Malaysia dan berkhidmat untuk tempoh tetap, biasanya tiga tahun. Secara keseluruhannya, ahli MPC BNM merupakan individu yang sangat profesional dan berkelayakan dengan kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk membuat keputusan termaklum mengenai dasar monetari. Tahap keprofesionalan yang tinggi ini sangat penting bagi memastikan MPC dapat membuat keputusan yang wajar dan bermaklumat yang memacu perkembangan ekonomi dan memelihara kestabilan ekonomi Malaysia.

Manakala dari sudut kebertanggungjawaban (accountability), MPC mahupun Bank Negara Malaysia (BNM) bertanggungjawab kepada kerajaan Malaysia, khususnya kepada Menteri Kewangan. Gabenor BNM melapor terus kepada Menteri Kewangan yang bertanggungjawab untuk menyelia dan memastikan BNM beroperasi dalam ruang lingkup mandat yang telah digariskan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Walau bagaimanapun, BNM beroperasi dengan tahap kebebasan dan autonomi yang tinggi, khususnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar monetari. Kebebasan ini juga termaktub dalam Akta BNM 2009 yang memberikan kuasa kepada BNM untuk membuat keputusan mengenai dasar monetari tanpa campur tangan daripada kerajaan. Secara tuntasnya, kebebasan MPC telah diperuntukkan dalam Seksyen 22(2) Akta BNM 2009 iaitu “Dasar monetari Bank (Negara Malaysia) hendaklah dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh Bank (Negara Malaysia), tanpa apa-apa pengaruh luar”.

Kebebasan ini amat penting bagi mengekalkan kredibiliti dan keberkesanan BNM dalam mencapai objektif utamanya iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan di negara ini. Selain kebertanggungjawaban kepada rakyat Malaysia, BNM juga beroperasi mengikut amalan dan piawaian terbaik antarabangsa melalui keanggotaan pelbagai organisasi antarabangsa, seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa (BIS), yang menyediakan panduan dan pengawasan mengenai amalan dan dasar perbankan pusat. Walaupun bagaimanapun, BNM seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif dengan mempergiat usaha penerangan mengenai konsep asas OPR, tatacara penentuan kadar OPR, apakah kesan kenaikan (atau penurunan) OPR kepada rakyat terbanyak melalui kempen-kempen celik kewangan termasuklah secara fizikal mahupun maya.

Oleh: Oleh: Dr Mohd Zaidi Md Zabri
Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya

1 Komen

  1. Sepatutnya MPC bukan setakat perlu buat knowledge sharing supaya rakyat faham. Tp yg paling penting, adakah keputusan MPC ini di sampaikan kepada kerajaan terutama MOF supaya boleh gomen amik langkah seiring dengan mitigasi dibuat oleh MPC itu sendiri. Sbg contoh, langkah naikkan opr, tiada kah nasihat diberikan kpd kerajaan supaya gomen boleh get ready dgn kaedah utk cushion up the impact to economy. OPR naik, so gomen, u kena ready dgn langkah bantuan kepada iks dan sektor runcit sbb diorg akan affected.
    Ringgit jatuh, apakah MPC tak advice gomen supaya galakkan pengeluaran bekalan dlm negara utk tujuan eksport. Explore local content and resources utk export ke negara matawang tinggi. Export minyak sawit contohnya kerana di luar negara, cth eropah, inflasi bahan makanan naik hingga belasan peratus, jd pengguna disana pastinya akan pilih minyak yg lebih murah harga, yg datang dr negara matawang rendah mcm Malaysia dan Indonesia.
    MPC dan gomen, anda harus sebulu dan sebuku..

Comments are closed.