Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan Mufti Agung Mesir, Shawki Allam di Dar Iftar Al Masriyah, di Kaherah

KUANTAN – Agenda agama, dakwah dan tarbiah terus menjadi fokus utama kerajaan negeri Pahang dalam memartabatkan syiar Islam, selain memperkukuh sektor ekonomi.

Pendekatan wasatiah yang dilaksanakan di Pejabat Mufti Mesir menjadi contoh kepada Jabatan Mufti Negeri Pahang dalam menghadapi isu-isu agama di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, fatwa oleh Mesir antara rujukan yang dipakai oleh Jabatan Mufti Pahang.

Menerusi lawatan kerja ke Mesir hari ini delegasi kerajaan negeri telah mengadakan mengadakan pertemuan dengan Mufti Agung Mesir, Shawki Allam di Dar Iftar Al Masriyah di Kaherah.

”Dalam pertemuan itu kami bertukar pandangan yang membina antara satu sama lain terutamanya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kepakaran dan lain-lain lagi.

”Setiap tahun, Kerajaan Negeri Pahang akan menghantar pegawai dari Jabatan Agama Islam untuk berkursus di Dar Ifta.

”Selain itu, fatwa-fatwa yang dikeluarkan atau diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negara Mesir boleh dikongsikan dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang khususnya dan juga jabatan-jabatan mufti di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan

Wan Rosdy berharap  pertemuan ini hubungan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Dar Iftar Al Masriyah, akan lebih erat demi memperkukuhkan syiar Islam di Pahang.

Selesai sahaja lawatan itu, delegasi Kerajaan Negeri Pahang kemudiannya melawat Ghurfah Nabwiah Syarifah di Masjid Imam Al Husain yang diiringi Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail

Ketibaan mereka disambut oleh Dr Sheikh Mustafa yang merupakan Imam Besar Masjid Imam Al Hussain dan Pengarah Pusat Sejarah Islam Mesir.

Rombongan itu kemudiannya dibawa masuk ke Ghurfah Nabawiah Syarifah dan berpeluang melihat beberapa barangan milik Rasulullah SAW seperti helaian rambut baginda, celak, helaian kain jubah serta sebilah pedang.

Terdahulu Wan Rosdy sempat mengadakan pertemuan bersama kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara Mesir.

Lawatan itu disertai Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaakob, Exco Kerajaan Negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, dan Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.- MalaysiaGazette