KUANTAN – Seramai 350 anak Pahang yang sedang mengikuti pengajian di Mesir diraikan pada majlis makan malam di Kaherah, semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertemuan itu diadakan sempena lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke negara itu di samping menyantuni mahasiwa di sana.
Pada majlis itu, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan sebayhak AS$100 (RM460) kepada pelajar Pahang di Mesir.
”Kerajaan Negeri juga menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang serta RM10,000 lagi disumbangkan kepada Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir untuk aktiviti serta manfaat anak-anak Pahang di Mesir.
”Selain itu kerajaan negeri juga turut meluluskan RM25,000 untuk memperbaiki surau untuk kegunaan pelajar-pelajar kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Lawatan kerja itu disertai Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaakob, Exco Kerajaan Negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.
Menerusi pertemuan itu Wan Rosdy bekesempatan menjelaskan kepada mereka tentang kedudukan semasa negeri termasuklah inisiatif-inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri kepada rakyat Pahang terutamanya kepada golongan pelajar.
”Sepanjang saya bersama mereka saya dapati mereka semua tenang dan gembira sepanjang berada di bumi Mesir.
”Saya juga menitipkan pesanan supaya terus belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan apabila pulang ke tanahair nanti, anak-anak ini mampu menyebarkan ilmu yang telah dipelajari kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap pelajar sabar dan tabah mengharungi segala bentuk ujian dan cabaran terutama berjauhan dengan keluarga tercinta. – MalaysiaGazette