BUTTERWORTH – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang hampir 24 jam di Taman Perda, Kuala Muda, Penaga di sini pada 27 Mei lalu.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Selasa depan dikeluarkan Majistret Rosnee Mohd Radzuan bagi membolehkan siasatan terhadap suspek berusia 70 tahun dilakukan pihak polis mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, suspek yang diiringi pihak polis tiba di pekarangan Mahkamah Butterworth pada jam 10.45 pagi dengan memakai baju lokap berwarna oren.

Tertuduh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang lelaki warga emas ditahan di rumahnya di Penaga di sini, kira-kira jam 10.30 malam semalam bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan hilang hampir 24 jam dan ditemui dalam keadaan cedera di sebuah bangsal di tepi jalan di Permatang Keriang di sini, pada 27 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki 70 tahun ditahan bantu siasatan cederakan budak 5 tahun

Polis siasat elemen jenayah kes budak 5 tahun hilang

Difahamkan, suspek berkenaan mengenali kanak-kanak berkenaan dan dipercayai mangsa dipukul menggunakan objek tumpul hingga mengakibatkan rahangnya patah.

Kanak-kanak berkenaan turut dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, dagu, lebam di dada serta patah dua batang gigi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast