Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama penerima kunci ketika di majlis Penyerahan kunci pembangunan perumahan penjawat awam Malaysia Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Khidmat bakti yang dicurahkan demi kemajuan negara akhirnya dibalas dalam bentuk rumah mampu milik di sebalik cabaran ekonomi tidak menentu ketika ini.

Dengan kos sara hidup dan harga hartanah yang melambung sememangnya tidak mudah untuk penjawat awam di Putrajaya khususnya mengejar cita-cita memiliki kediaman impian demi menjamin masa depan anak-anak.

Namun, Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya merealisasikan impian mereka memiliki rumah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat yang begitu strategik dan pesat membangun.

Bagi Penolong Pegawai Tadbir di Kementerian Kesihatan, Muhammad Bashir Maktar, 39, rumah baharu yang menjadi miliknya hari ini pastinya menjadi aset tetap yang sangat bernilai yang sangat ditunggu-tunggu oleh beliau sekeluarga.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, beliau mengakui bukan mudah untuk penjwat awam sepertinya yang baru berpindah dari Pulau Pinang dan menetap di Putrajaya untuk memiliki rumah di lokasi strategik sebegini.

“Apabila tawaran dibuka saya segera mendaftarkan diri dalam laman web Perbadanan Putrajaya dan sejak itu hampir setiap hari menghubungi pejabat PPj dan bertanya sama ada saya ditawarkan atau tidak.

Muhammad Bashir Maktar bercakap kepada media selepas menerima kunci rumah di majlis Penyerahan kunci pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2023.

“Hari ini, segala khidmat bakti saya sebagai penjawat awam dibalas kerajaan Madani dengan menjadikan saya sebagai pemilik rumah tetap di pusat pentadbiran Putrajaya ini.

“Saya masih tak dapat percaya akhirnya sudah memiliki sebuah rumah yang selesa berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM220,000 di bawah harga sebenar pasaran kompetitif semasa, syukur Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, turut meluahkan rasa gembira Azhari Ibrahim berusia 53 tahun yang merupakan Orang  Kurang Upaya dan berkerusi roda.

“Saya seorang OKU dan isteri saya penjawat awam yang berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri sudah lama mengimpikan untuk memiliki sebuah kediaman tetap untuk kami sekeluarga di sini.

Azhari ibrahim, 53 bercakap kepada media selepas menerima kunci rumah di majlis Penyerahan kunci pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2023.

“Lebih teruja, saya mendapat tawaran memiliki rumah unit di tingkat satu yang dikhususkan untuk OKU seperti saya dan Alhamdulilllah sangat bersyukur akhirnya memiliki rumah bernilai RM220,000 jauh lebih murah dari pasaran semasa di bandar pesat membangun seperti Putrajaya.

“Saya ditawarkan peluang memberi rumah penjawat awam mampu milik ini pada tahun 2019 dan selepas sekian lama sabar menanti hari inilah hari kami sekeluarga sangat gembira dapat miliki rumah di Putrajaya seperti diimpikan,” ujarnya.

Beliau antara 10 pembeli terpilih yang menerima kunci rumah  daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur di Presint 18 hari ini.

Bangunan blok setinggi 37 tingkat itu terdiri daripada 500 unit kediaman mampu milik khusus untuk penjawat awam  berkeluasan 1,000 dan 1,200 kaki persegi dengan harga tidak melebihi RM260,000 jauh lebih rendah dengan nilai semasa pasaran.

Sebanyak peratus daripada 500 unit berkenaan telah diperuntukkan kepada Melayu Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40.

Sementara seorang pesara wanita dari Jabatan Ketua Audit Negara Muhaini Muhammad, 65, menyifatkan pemilikan rumah tetap dengan kos rendah umpama hadiah daripada Allah atas khidmat bakti yang ditaburkan selama 37 tahun sebagai penjawat awam.

“Selepas pada 2022 diberikan tawaran membeli rumah ini, macam tak percaya kerana saya pencen, tapi saya ada dua fikiran sama ada nak terima atau tidak.

Muhaini Muhammad, 65 bercakap kepada media selepas menerima kunci rumah di majlis Penyerahan kunci pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2023.

“Namun, ikut naluri hati menyebut saya sudah 37 tahun menabur bakti kepada kerajaan sebelum bersara dan sebelum ini pernah duduki kuarters kerajaan di Presint 9, sekarang sangat gembira kerana memiliki rumah sendiri di kawasan yang boleh dikatakan ‘five star’lah.

“Apa yang istimewa sangat adalah saya rasa ini satu hadiah yang amat bermakna sebagai pesara penjawat awam selepas berkhidmat di Jabatan Audit Negara.

“Walaupun rasa macam mimpi, tetapi syukur Alhamdulillah, walaupun khidmat bakti tak lama (37 tahun sahaja) tapi terima sebagai hadiah Allah,” katanya.

Bagi Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya, Ahmad Mustaffa Ahmad Rahmad, 44, memiliki aset kediaman tetap di kawasan elit dan pesat berkembang seperti Putrajaya sangat sukar untuk diimpikan.

Katanya, walaupun menjadi impian setiap orang di seluruh negara untuk memiliki aset kediaman tetap di Putrajaya lokasi berkelas dunia dan bernilai tinggi, diri dan keluarga dianggap bertuah kerana rezeki itu diturunkan daripada Allah.

“Rezeki mampu beli rumah di Putrajaya bukan senang di kawasan seperti ini yang aset bernilai tinggi, lagipun terima kunci dari Perdana Menteri itu lagi bermakna untuk saya sekeluarga.

Ahmad Mustaffa Ahmad Rahmad, 44 bercakap kepada media selepas menerima kunci rumah di majlis Penyerahan kunci pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2023.

“Sudah hampir 18 tahun berkhidmat di Perbadanan Putrajaya, hanya dapat menyaksikan peningkatan harga tanah yang sentiasa melambung tinggi dan agak mustahil juga untuk beli hartanah namun  berharga RM260,000 dengan keluasan 1200 kaki persegi macam ini sangat menarik dan rezeki yang sukar ditolak.

“Dengan konsep bandar dalam taman, infrastruktur serta kemudahan berkomuniti dengan kelas tersendiri, suatu yang tidak boleh ditolak oleh sesiapa pun. Insyallah apa yang diberikan oleh kerajaan Malaysia Madani hari ini akan dibalas dengan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Putrajaya.

“Selepas pindah ke rumah baharu ini, kuarters kerajaan yang dikosongkan nanti akan dimanfaatkan penjawat awam lain pula,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.