Tengku Zafrul Aziz bersama delegasi mengadakan perbincangan dengan pelabur Jepun. Foto FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR –  Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya memperoleh potensi pelaburan bernilai RM23.07 bilion dan potensi eksport produk dan perkhidmatan ke Jepun bernilai RM2.1 bilion susulan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Tokyo dan Osaka yang baru sahaja berakhir.

Misi selama lima hari itu yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dari 29 Mei hingga 2 Jun, 2023, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) dan penyumberan pilihan di Asia Tenggara dengan penekanan utama kepada digital serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Tengku Zafrul dan pasukannya memperoleh potensi pelaburan dan eksport ini dengan pengurusan tertinggi pelbagai syarikat terkemuka di Jepun termasuk Fuji Electric, NHK Spring, CKD Corporation, Itochu Corporation, Sumitomo Corporation, Mitsui & Co Ltd, Denso Corporation, Japan Petroleum Exploration Co Ltd. (JAPEX), Panasonic Housing Solutions Co Ltd, D-ACT, Omron Relay and Devices Corporation dan Daiwa House Industry Co Ltd.

Beliau berkata, MITI akan berusaha untuk merealisasikan pelaburan ini dengan segera bagi membantu Malaysia memanfaatkan trajektori pertumbuhan ekonomi global yang bertambah baik pada tahun-tahun akan datang.

“Apabila berjaya dilaksanakan kelak, projek ini bukan sahaja akan menjana prospek pekerjaan dan peluang latihan kemahiran bagi rakyat Malaysia tetapi juga memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita dalam rantaian bekalan domestik, menggalakkan pelaburan langsung domestik dan membangunkan lagi ekosistem industri strategik di negara kita.

“Kebanyakan pelaburan berpotensi ini sesuai terutamanya dengan sektor sasaran Dasar Pelaburan Baharu (NIP) seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik (termasuk peralatan perubatan) dan kimia atau petrokimia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“MITI juga akan berusaha untuk merealisasikan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Jepun, sambil turut memanfaatkan pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dianggotai Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

Potensi eksport yang dicapai ialah daripada sektor seperti tenaga dan kimia, minyak sawit, pembinaan dan bahan binaan, Makanan dan Minuman (termasuk industri halal), gaya hidup serta industri hijau dan lestari.

Tengku Zafrul juga bertemu dengan anggota Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dan menggalakkan mereka menyertai ekspo perdagangan di Malaysia serta meminta untuk mempermudah penyertaan Malaysia dalam World Expo Osaka 2025.

Misi perdagangan dan pelaburan itu dijayakan oleh agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadangan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast