Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan polis menumpaskan dua kumpulan curi motosikal iaitu Geng Daus dan Geng Hafiz di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini. Polis menahan seramai sembilan lelaki berumur 24 hingga 33 tahun dan merampas 13 buah motosikal, tiga rangka motosikal, dua bongkah enjin motosikal, dua kulit enjin motosikal, serta kompenan-kompenan motosikal yang telah dileraikan dalam siri serbuan di sekitar Selangor pada bulan lepas.

SHAH ALAM – Dua kumpulan yang aktif mencuri motosikal sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya sembilan lelaki dalam siri serbuan di sekitar Selangor pada bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua yang ditahan didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk jenayah curi motosikal dan dadah, selain ada di antara mereka yang baru dibebaskan daripada penjara.

“Kita menjalankan enam serbuan bermula awal bulan lalu dan berjaya menahan sembilan suspek berumur 24 hingga 33 tahun di Klang, Shah Alam dan Banting,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Iqbal berkata, dua geng itu biasanya melakukan jenayah di parkir awam dan pasar raya yang tidak mempunyai rakaman televisyen litar tertutup atau pengawal keselamatan, selain di flat dengan menyasarkan motosikal yang mudah dicuri terutama yang tidak mempunyai atau dilengkapi kunci pendua atau keselamatan.

 

Katanya motosikal yang dicuri akan dileraikan untuk dijual komponen sebelumnya rangkanya dibuang dan  pihaknya tidak menolak kemungkinan hasil jualan digunakan bagi membeli dadah ekoran ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

“Berikutan penangkapan kesemua suspek itu, polis berjaya merampas 13 motosikal seperti Yamaha 135LC, Y15ZR dan Honda EX5 selain tiga rangka motosikal serta masing-masing dua bongkah enjin dan kulit enjin. Nilai rampasan dianggarkan RM20,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan 20 kes jenayah curi motosikal sekitar daerah ini dan Klang dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast