ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menguatkan lagi kemahiran dan pengetahuan graduan agar berupaya memenuhi keperluan industri.
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP bersetuju untuk bekerjasama dalam membuat penyelidikan dan membangunkan beberapa idea baharu bagi meningkatkan lagi kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan melalui akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Melalui MoU ini, UniMAP bersetuju untuk menyampaikan informasi atau promosi mengenai PTPTN menerusi medium hebahan yang bersesuaian dan papan iklan PTPTN di dalam kawasan UniMAP.
“Selain itu, UniMAP bersetuju untuk memberi hadiah atau insentif kepada mana mana kakitangan UniMAP yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Zaliman bagi pihak UniMAP manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam satu majlis di Pejabat Naib Canselor, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail; Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Cawangan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail.
Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited membudayakan agenda penabungan untuk perancangan kewangan rakyat melalui Simpan SSPN di samping menyediakan pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi.
Menurut beliau, hasrat PTPTN adalah untuk membantu ibu bapa dan pelajar agar mempunyai perancangan kewangan yang baik demi masa depan pendidikan agar tidak terbeban dengan hutang.
“Melalui perancangan kewangan, graduan tidak terlalu bergantung kepada pinjaman semata-mata sebaliknya menggunakan simpanan untuk menampung kos pengajian mereka.
“Diharap dengan kerjasama ini dapat memberikan impak positif kepada PTPTN dan UniMAP dalam memastikan para pelajar lebih cakna dan berpengetahuan mengenai perancangan kewangan melalui Simpan SSPN,” tambahnya.
Kerjasama yang terjalin antara PTPTN dan UniMAP itu menyokong usaha UniMAP sebagai sebuah universiti yang memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan serta telah mengambil pelbagai inisiatif untuk melengkapkan kecemerlangan akademik dan telah memasuki pelbagai perjanjian kerjasama dengan pihak-pihak lain.
MoU tersebut dapat dicapai menerusi pelbagai skop program antaranya adalah jaringan program kerjasama bersama alumni UniMAP dan juga penganjuran program yang bermanfaat kepada graduan UniMAP serta komuniti di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara UniMAP dan PTPTN selaras dengan slogan UniMAP for Society. – MalaysiaGazette