KUALA LUMPUR- Langkah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melanjutkan masa operasi klinik kesihatan di daerah Kuantan dilihat hanya membantu rakyat dalam tempoh yang singkat dan tidak efektif untuk jangka masa panjang.
Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) berpendapat, pelanjutan masa operasi hanya akan menyebabkan kelelahan petugas kesihatan dengan tugas sedia ada untuk jangka masa panjang.
Selain itu, kerajaan juga perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih besar berbanding jika pesakit diawat di klinik swasta.
“Satu kajian pernah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan pada 1986, yang mana terdapat perbandingan harga rawatan utntuk seorang di klinik swasta danklinik kerajaan.
“Didapati harga rawatan di klinik swata adalah RM28 manakala di klinik kerajaan untuk sakit yang sama, kerajaan perlu memperuntukkan RM56 bagi setiap pesakit.
“Seandainya peruntukan itu diberikan kepada klinik swasta, kerajaan dan KKM boleh mengurangkan kos perbelanjaan tahunannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, PERDIM mencadangkan adanya kerjasama merawat pesakit di antara klinik kesihatan dan klinik swasta.
Program perintis kad kesihatan PEKAB40, yang mana pesakit boleh dirawat di klinik swasta perlu diaktifkan semula bagi membantu mengurangi beban lambakan pesakit di klinik kerajaan.
JKN Pahang juga perlu mengambil kira klinik swasta adalah sebahagian daripada sistem kesihatan di Malaysia.
Justeru, penglibatan klinik swasta di dalam strategi membantu rakyat juga merupakan satu strategi bijak dan perlu mendapat perhatian.
Penglibatan klinik swasta dalam melayani pesakit- pesakit turut dapat membantu mengurangkan kesesakkan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan.- MalaysiaGazette
















