Fahmi (tengah) pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan maklumat palsu berhubung Pulau Pinang milik Kedah.

Demikian jelas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana negeri itu masih hak Kedah.

Menurut beliau, semua pihak wajib akur dengan kedudukan negeri Pulau Pinang seperti mana termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya difahamkan beberapa laporan polis telah dibuat berhubung isu ini dan kalau kita teliti dalam Perlembagaan memang jelas disebut negeri Pulau Pinang maka tiada kesangsian bagi saya atau rasa was-was berhubung perkara tersebut.

“Sekiranya ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan, sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan bagi mengekang maklumat palsu tersebar dalam kalangan rakyat.

“Jadi dalam isu ini saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang patut,” katanya.

Fahmi (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pra Pelancaran Komuniti MADANI peringkat Pulau Pinang di Midtown Perda, Kubang Menerong hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Komuniti MADANI peringkat Pulau Pinang di Midtown Perda, Kubang Menerong, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan selaku Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai Perlembagaan.

“Kadang-kadang apabila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian. Walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.

“Nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain tetapi sebagai seorang Menteri Besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan.

“Saya boleh komen ini berdasarkan ulasan Peguam Negara yang cukup jelas bahawa perkara ini perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang diperkenan semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” kata Anwar. – MalaysiaGazette