Datuk Khaw Kok Chin .

GEORGE TOWN – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin menyifatkan ugutan jenayah yang diterimanya daripada sindiket ahlong sebagai lumrah yang sentiasa dihadapi pihak polis dalam melaksanakan tugas membanteras sindiket haram.

Jelasnya, selaku pimpinan utama dalam pasukan di Kontinjen Pulau Pinang, beliau tidak akan tunduk dengan ugutan yang diutarakan mana-mana sindiket.

“Ya, saya ada menerima ugutan apabila membongkar serta melumpuhkan sindiket terlibat jenayah di negeri ini.

“Namun begitu, saya tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram di negeri ini.

“Sebaliknya, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka yang mengugut, mengancam saya serta Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, satu kertas siasatan dibuka berhubung ugutan ini mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu laporkan mendakwa Kok Chin menerima satu surat ugutan jenayah dipercayai daripada sindiket ahlong.

Difahamkan, surat itu mengandungi ugutan berbunyi balai polis akan dibakar sekiranya Kok Chin terus mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan.

Surat tersebut dicetak dalam Bahasa Melayu selain dihantar ke pejabat beliau menerusi hantaran pos pada 1 Jun lalu.

Untuk rekod, Kok Chin memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang pada 12 Mei menggantikan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.

Berpegang kepada slogan ‘Mesra, Cepat dan Betul’, Kok Chin sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman.

Menyertai PDRM sebagai Kadet Asisten Komisioner pada tahun 1991, Kok Chin pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor; Komander Briged Sarawak di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA); Timbalan Komander Briged Utara PGA serta berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Selangor.

Di Pulau Pinang, beliau pernah dilantik sebagai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, IPK Pulau Pinang; Pegawai Hal Ehwal Awam IPK Pulau Pinang; dan Ketua Bahagian Pengurusan di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara.

Beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2006. – MalaysiaGazette