Jamaludin (kanan) dan Syaiful Rizal (kiri) menandatangani Laporan Khidmat Nasihat YBR.

KUALA LUMPUR – Dalam meningkatkan integriti kerja, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menandatangani Laporan Khidmat Nasihat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun YBR telah menjalankan sesi khidmat nasihat sejak tahun lalu, atas dasar dan sikap prihatinnya, perlu kepada penglibatan SPRM supaya laporan itu lebih mantap serta bersepadu.

Penolong Kanan Pesuruhjaya yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Jamaludin Puteh turut memuji tindakan YBR dalam meningkatkan integriti kerja warganya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap sistem, amalan dan tatacara di YBR keseluruhannya sangat baik.

“Saya berpuas hati dan turut mencadangkan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan untuk memantapkan lagi prosedur dan polisi pematuhan YBR bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif di kalangan masyarakat.

Syaiful Rizal (duduk, kiri) dan Jamaludin (duduk, dua dari kiri) bersama rombongan pegawai kanan SPRM dan Pengurusan YBR selepas majlis menandatangani Laporan Khidmat Nasihat di Menara Berkembar Bank Rakyat.

“Tahniah kepada YBR atas komitmen yang telah diberikan sepanjang sesi khidmat nasihat dijalankan sejak tahun lalu,” katanya dalam majlis menandatangani Laporan Khidmat Nasihat dengan SPRM di Serambi Ilmu Rakyat, Menara Kembar Bank Rakyat di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan empat pegawai SPRM yang diketuai Jamaludin.

Sementara itu, Syaiful Rizal dalam ucapannya turut mengalu-alukan cadangan SPRM dan alam memantapkan lagi prosedur serta polisi operasi yayasan itu bagi meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.

Ujar beliau, YBR juga akan memberi tumpuan terhadap pematuhan polisi setiap masa dalam membuat keputusan supaya ianya telus dan tidak membuka ruang serta peluang kepada aktiviti rasuah.

Katanya, berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi yang dijalankan Wiki Impact, YBR disenaraikan di tangga ketiga tertinggi antara 32 yayasan terbaik di Malaysia. – MalaysiaGazette