Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan bangunan baharu UMNO Bahagian Batu

KUALA LUMPUR – Pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan bagi pilihan raya di enam negeri akan diumumkan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan telah berlangsung antara pengerusi negeri BN dan Pakatan Harapan (PH) di enam negeri terbabit.

“Kami telah mengumpulkan semua hasil perbincangan, pengerusi BN dan PH setiap negeri. Insya-Allah sebelum pembubaran kita akan mengumumkan pembahagian dan selepas pembubaran kita akan menentukan calon daripada parti masing-masing,” kata Presiden UMNO itu.

Tambah Ahmad Zahid, perundingan dijalankan berlandaskan sebagai sebuah gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau  berkata, rundingan tidak dijalankan antara sebuah parti dengan parti lain.

“Kami berunding sebagai sebuah gabungan. Tidak ada perundingan antara parti dengan parti tetapi gabungan dengan gabungan.

“Itu adalah keputusan bersama kami antara BN dan PH,” katanya ketika ditanya sama ada MIC dan MCA akan mendapat kerusi untuk ditandingi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu UMNO Bahagian Batu yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, calon BN yang akan bertanding merupakan pemimpin yang memenuhi kriteria “WALI” iaitu winnability (boleh menang), acceptibility (kebolehterimaan) dan likeability (disenangi).

“Kami menggunakan prinsip sama WALI. Tiga elemen ini penting pilihan raya melibatkan enam negeri ia adalah satu manifestasi penerimaan pengundi-pengundi terhadap kerajaan Malaysia Madani.

“Saya fikir applicable sesuai untuk calon-calon dalam Kerajaan Perpaduan ini,” kata Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette