KUALA LUMPUR – Program Kuala Lumpur Bebas Kenderaan (KLCFM) meraikan sambutan penganjuran ke-10 tahun hari ini.
Program sambutan bermula dan tamat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melibatkan laluan tujuh kilometer (km) dan peserta juga boleh memilih laluan lima km atau tiga km.
Seramai 3,000 orang peserta dijangka akan menghadiri program tersebut dengan pelepasan peserta pada pukul 7 pagi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh berkata, program tersebut akan menjadi pemangkin dan rujukan kepada bandar-bandar yang lain.
Menurutnya, DBKL akan mengenal pasti lokasi seterusnya bagi menyebarluaskan program KLCFM.
“Untuk merealisasikan kempen hijau, DBKL telah aktif membangunkan infrastruktur mesra bersukan seperti berbasikal dan berlari di tengah bandar raya dan taman-taman utama di Kuala Lumpur.
“Pelbagai acara menarik telah dirangka untuk warga kota yang menghadiri acara pada 4 Jun ini, seperti permainan poket, persembahan artis undangan, persembahan buskers, pameran penaja, minuman percuma, kereta berkuda dan
hadiah cabutan nombor bertuah,” katanya.
Tambah Kamarulzaman, DBKL mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia yang turut menjayakan program berkenanan.
Peranan mereka bagi memastikan keselamatan peserta serta penambahbaikan program ini yang sentiasa dibincangkan dari masa ke semasa.
“Harapan saya agar program yang menjadi ‘product branding’ kepada Kuala Lumpur ini akan terus mendapat sambutan dari semua pihak dan seterusnya menggalakkan warga kota mengamalkan budaya gaya hidup sihat ke arah objektif Kuala Lumpur Bandar Raya Rendah Karbon pada masa hadapan” ulas beliau lagi.
KLCFM telah menjadi fenomena sejak ia mula diperkenalkan pada 22 September 2013 sempena Hari Tanpa Kenderaan Sedunia.
Program bermula dengan laluan sejauh 5 km dantelah disertai seramai 1,500 peserta dengan lokasi mula dan tamat di Stesen LRT Dang Wangi, Jalan Ampang.
Lokasi tersebut dipilih sebagai simbolik bagi mengalakkan penggunaan kenderaan awam iaitu LRT yang merupakan salah satu nadi kempen acara iaitu misi pengurangan karbon di Kuala Lumpur.
Sambutan yang diberikan oleh warga kota terhadap program ini semakin mengalakkan dan pada tahun 2014 acara berbentuk karnival telah diperkenalkan pada setiap hari Ahad pertama setiap bulan.
Dataran DBKL telah dipilih menjadi lokasi utama acara bermula dan tamat.
Bermula tahun 2015, program tersebut telah diadakan dua kali sebulan iaitu pada Ahad pertama dan ketiga setiap bulan berikutan sambutan luar jangkaan daripada warga kota.
Pada tahun 2020 sewaktu Covid-19 melanda negara program ini telah dihentikan sementara dan selepas dibenarkan kembali, KLCFM diadakan mengikut SOP yang ditetapkan.
Program diberi nafas baru oleh bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah menerusi kekerapan penganjuran iaitu pada setiap Ahad dan kekal sehingga kini.- MalaysiaGazette