Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil dan merakam keterangan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy bagi membantu siasatan kes berkaitan Proklamasi Melayu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan dalam kes berkenaan masih diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Berhubung isu Proklamasi Orang Melayu masih berada di peringkat siasatan untuk merakam keterangan Hadi Awang dan P. Ramasamy,” katanya dalam kenyataan ringkas semalam.

Dalam pada itu, Noorsiah juga mengesahkan Bukit Aman telah melengkapkan kertas siasatan terhadap mantan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

Katanya, kertas siasatan dilengkapkan itu akan dirujuk kepada pejabat peguam negara pada 6 Jun ini untuk arahan lanjut dalam kes tersebut.

Kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada Peguam Negara pada Selasa depan untuk arahan lanjut selari dengan peruntukan perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette