SHAH ALAM – Tujuh pekerja sebuah institut memandu di Jalan Kuala Selangor, Ijok, dekat sini terperangkap kira-kira 30 minit dalam banjir hari ini.
Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dalam kenyataan berkata kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ke tempat selamat dijalankan menggunakan bot fiber.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.02 pagi untuk menyelamatkan kesemua mangsa berusia 18 hingga 55 tahun yang terperangkap.
Katanya lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya digerakkan ke tempat kejadian dan dianggarkan kedalaman air sekitar satu meter.
“Semasa kejadian semua mangsa sedang bekerja dan mereka terperangkap dalam pejabat institut memandu itu selepas air memasuki kawasan berkenaan dan masih lagi bergenang di sekitar lokasi kejadian,” katanya.- BERNAMA