GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan semua pihak memberi perhatian serta patuh dengan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak menjadikan agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
Jelas beliau, ini kerana Islam mempunyai idealisme tertentu tentang kehidupan berpolitik dan ia tidak bererti menjadi lesen kepada mana-mana pihak menunggangi agama ini bagi mencapai matlamat yang dicita-citakan.
Wan Salim berkata, semua orang perlu mengetahui bahawa Islam itu diwahyukan Allah dan ia lebih unggul daripada mana-mana organisasi politik yang ditubuhkan manusia.
“Pertama yang mesti ditegaskan di sini bahawa agama Islam adalah satu sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna. Malau, ajarannya tidak hanya tertumpu kepada asepek kepercayaan dan ibadah tetapi mencakupi segenap lapangan hidup termasuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.
“Sebagai satu cara hidup yang sempurna sudah tentu Islam juga mempunyai idealism tertentu untuk mencapai matlamat menegakkan sebuah negara contoh yang didambakan iaitu ‘Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ (sebuah negara yang baik, aman, makmur serta mendapat keampunan Tuhan).
“Sifat agama Allah yang sempurna tidak bererti memberi lesen kepada mana-mana pihak menunggangi agama ini untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata, tujuan Islam dalam politik juga bukan semata-mata untuk menguasai tampuk pemerintahan tetapi untuk menegakkan prinsip-prinsip unggul yang dikehendaki syariah iaitu kebebasan, keadilan dan kebajikan untuk rakyat termasuk membasmi kemiskinan serta rasuah.
“Sifat agama Islam itu adalah sakral manakala parti politik tidak sakral atau terpelihara daripada kekurangan, kelemahan dan kesilapan.
“Maka titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan agama sebagai polemik dan perbalahan politik perlu diambil perhatian serta dipatuhi oleh semua pihak terutama para pemimpin politik.
“Ia demi untuk mengekalkan ketenteraman awam dan hubungan harmoni antara seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada berlainan agama dan budaya masing-masing kerana dengan suasana sedemikian negara mampu mengorak langkah menuju kemajuan dan kemakmuran,” kata Wan Salim.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh rakyat Malaysia tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
Al-Sultan Abdullah bertitah semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.
“Namun demikian, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara,” titah Baginda. – MalaysiaGazette